PUTRAJAYA – Malaysia mengutuk serangan udara oleh Israel yang menyebabkan kematian tujuh pekerja bantuan dari badan amal World Central Kitchen (WCK) di Gaza.
Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan, Malaysia menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa, serta pemimpin kerajaan negara-negara yang berduka atas kehilangan warganegaranya dalam serangan yang tidak berperikemanusiaan ini.
Katanya, Malaysia mengambil maklum dan turut berdukacita apabila WCK menangguhkan operasinya disebabkan oleh insiden tragis ini.
“Penangguhan operasi WCK akan menghalang usaha bantuan segera, menambahkan lagi kesengsaraan rakyat Palestin yang sedang bergelut dengan kebuluran dan penyebaran penyakit,” katanya hari ini.
Mangsa yang terkorban dalam serangan itu termasuk tiga warganegara Britain, seorang warganegara Poland, seorang warganegara Australia, seorang Palestin dan seorang yang memegang dwi-kewarganegaraan Amerika Syarikat-Kanada.
Pada masa sama, Wisma Putra berkata serangan yang disengajakan di bangunan konsulat Iran di Damascus, Syria baru-baru ini serta serangan di atas WCK ini adalah amat membimbangkan.
Jelasnya, Rejim Israel harus mematuhi Resolusi 2728 untuk memastikan perlindungan dan bantuan sampai kepada rakyat Palestin.
“Rakyat Palestin berhak mendapat sokongan teguh dan bantuan dari komuniti antarabangsa.
“Menjadi tanggungjawab kita bersama untuk berusaha secara kolektif mencari penyelesaian yang damai dan mampan terhadap krisis berterusan di Gaza,” katanya.
Dalam pada itu, Malaysia terus kekal dengan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan Palestin dalam mendapatkan kembali hak-hak mereka untuk berdiri sendiri, penubuhan Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat.
Ia berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin dan diterima sebagai ahli anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). – KOSMO! ONLINE