MANCHESTER – Manchester United sedang mencari rakan tengah baru buat Kobbie Mainoo apabila dilaporkan berminat dengan pemain muda OH Leuven, Mandela Keita.
Pemain berbakat berusia 21 tahun itu kini dipinjamkan kepada Royal Antwerp dan telah membuat 30 penampilan musim ini serta menyumbang tiga bantuan jaringan dalam proses tersebut.
Selepas meragui masa depan Casemiro dan Cristian Eriksen, pemilik bersama United, Sir Jim Ratcliffe dikatakan sedang berusaha untuk mendapatkan pemain tengah muda yang lebih berpotensi untuk menggantikan khidmat mereka berdua.
Ketua Pegawai Eksekutif Antwerp, Sven Jaecques mengakui bahawa sangat sukar untuk mengekalkan Keita pada musim panas ini berikutan pemain antarabangsa Belgium itu telah menarik minat beberapa kelab besar untuk membelinya.
Jaguh Belgium itu kehilangan pemain utama, Arthur Vermeeren kepada Atletico Madrid dengan harga £15 juta (RM89 juta) pada Januari lalu yang mungkin menyebabkan perpindahan Keita akan menjadi berita buruk kepada penyokong Antwerp.
“Sukar untuk mengekalkan Keita kerana beliau mendapat minat dari luar negara, malah pada Januari lalu kami pernah menolak tawaran untuknya.
“Selepas berakhirnya musim ini, perkara sama mungkin terjadi dan kami masih belum pasti sama ada boleh mengekalkannya atau tidak,” kata Jaecques.
Keita bermain dengan cemerlang apabila statistik beliau mengendali bola dalam perlawanan mencecah 89 peratus dan akan menjadi pelaburan jangka panjang buat United.
Malah, Keita dianggap sesuai dengan rancangan Ratcliffe untuk membawa bakat terbaik Eropah ke Old Trafford dalam usaha mengembalikan kegemilangan United. – AGENSI