MUAR – Pelakon versatil, Allahyarham Jaafar Onn dikatakan telah menempah khemah untuk mengadakan majlis keraian Aidilfitri bersama keluarganya di Kampung Tanjung Gading, di sini.
Menurut kakak sulungnya, Teh Awang, 80, Allahyarham sempat pulang ke kampung halaman pada 18 April lalu dan mengadakan majlis makan secara kecil-kecilan sempena menyambut Ramadan.
Ujarnya lagi, adik bongsu daripada tiga beradik itu juga telah menempah khemah daripada pembekal sama untuk mengadakan majlis keraian sempena Aidilfitri.
“Memang setiap tahun Jaafar akan bagi duit RM1,000 untuk mengadakan majlis makan bersama keluarga sempena Ramadan.
“Tujuh Ramadan hari tu dia balik dan cakap dekat orang khemah tu nak sewa untuk Aidilfitri juga sebab tahun ini nak buat meriah sikit, selalu kami makan dalam rumah sahaja,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Tanjung Gading, hari ini.
Tambahnya, dia diberitahu Allahyarham dimasukkan ke hospital kelmarin dan berhasrat untuk pergi melawatnya pada awal pagi ini.
“Saya sudah bersiap-siap pada pukul 8 lebih tadi untuk nak ke hospital tetapi tidak lama kemudian dapat panggilan Jaafar telah meninggal dunia, memang terkejut sebab rasa cepat sangat kejadian berlaku,” ujarnya.
Dalam pada itu anak angkatnya, Hanif Mohd. Hashim, 30, berkata, dia tidak menyangka perancangannya untuk membawa Allahyarham pulang ke kampung halaman pada Aidilfitri ini menjadi kenyataan yang menyedihkan.
“Saya rancang nak bawa papa (Jaafar) balik kampung raya ini sebelum pulang ke Kedah tetapi tak sangka hari ini saya hantar dia ke sini buat selama-lamanya,” katanya.
Terdahulu Kosmo! melaporkan dunia hiburan dikejutkan dengan berita pemergian Jaafar Onn yang dilaporkan telah meninggal dunia, sekitar pukul 11 pagi, hari ini.
Allahyarham, menghembuskan nafas terakhir pada usia 73 tahun di Hospital Sultan Idris Shah Serdang, selepas dimasukkan ke wad kecemasan di zon kritikal hospital berkenaan sejak kelmarin.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan pada pukul 8.30 malam tadi di Tanah Perkuburan Islam Al Firdaus Tanjung Gading, Muar, di sini.-KOSMO! ONLINE