fbpx

Jaafar Onn meninggal dunia akibat serangan jantung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anak angkat Jaafar Onn iaitu Hanif memaklumkan Allahyarham meninggal dunia akibat serangan jantung.

PETALING JAYA – “Papa mengalami serangan jantung dan meninggal dunia pada pukul 11.32 pagi.”

Demikian pendedahan anak angkat kepada pelakon dan pengacara Jaafar Onn, Mohd. Hanif Mohd. Hashim mengenai punca Allahyarham meninggal dunia ketika melalui prosedur endoskopi, pagi tadi.

Ujar Hanif, doktor sudah memaklumkan bahawa prosedur tersebut sememangnya berisiko tinggi disebabkan jantung arwah ketika itu lemah.

“Pagi tadi papa ada melalui prosedur endoskopi dan doktor ada beritahu prosedur terbabit berisiko sebab papa ada masalah jantung lemah tapi terpaksa buat sebab pendarahan.

“Kadar degupan jantung dia tinggi sampai 140. Masa buat endoskopi sekitar pukul 10 dan ketika melalui prosedur itu, papa mengalami serangan jantung dan disahkan meninggal dunia pada pukul 11.32 pagi,” ujarnya sebak.

Pada masa sama, Hanif menyatakan pada mulanya arwah pergi ke klinik disebabkan mengalami tekanan darah rendah dan pendarahan tanpa henti semasa membuang air besar.

Kata Hanif, doktor turut memaklumkan kemungkinan pendarahan itu berlaku disebabkan pengambilan ubat tahan sakit yang terlalu lama.

“Papa mulanya mengalami tekanan darah rendah kelmarin dan dalam masa sama dia juga membuang air besar berdarah, pendarahan itu terlampau banyak dan tak berhenti.

“Kemungkinan pendarahan itu disebabkan pengambilan ubat tahan sakit yang diambil. Ikutkan memang dah lama papa ambil ubat itu, sebelum saya jaga dia lagi.

“Ubat tahan sakit itu dia makan sebab sakit lutut. Bulan puasa tahun lepas dia dapat tahu ada masalah jantung yang juga menyebabkan kakinya bengkak.

“Berak berdarah itu pula mungkin disebabkan ulser dalam perut. Patutnya Februari ada rawatan susulan tapi tak dapat pergi sebab ada urusan lain. Waktu itu, arwah rasa pembuangan dia sudah baik,” ujarnya ketika ditemui media di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, Selangor.

Difahamkan, jenazah akan diuruskan dahulu di hospital sebelum dibawa pulang ke kediaman keluarga untuk disemadikan di Tanjung Ganding, Muar, Johor, hari ini.

Terdahulu, kesihatan Jaafar dilaporkan merosot sebelum ditahan wad HSIS selepas mengalami pendarahan semasa membuang air besar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI