TAIPEI – Sekurang-kurangnya empat orang maut, manakala 56 lagi cedera selepas gempa bumi berukuran 7.3 magnitud melanda pantai timur Taiwan pagi ini, lapor portal berita South China Morning Post.
Kejadian yang berlaku pada pukul 7.58 pagi (waktu tempatan) itu turut menyebabkan sekurang-kurangnya dua bangunan runtuh.
Pusat gempa berada di perairan kira-kira 25 kilometer ke selatan daerah timur Hualien dan 138 kilometer dari Taipei, demikian menurut Biro Cuaca Pusat.
Gegaran akibat gempa itu dirasai di seluruh pulau tersebut termasuk ibu kota Taipei.
Amaran tsunami turut dikeluarkan di Taiwan serta beberapa kawasan di tanah besar China, Filipina dan Jepun.
Rakaman media tempatan menunjukkan bangunan bergegar dengan kuat selama seminit sebelum runtuh, manakala penduduk berlari sambil menjerit ketakutan.
Sekurang-kurangnya 50 orang di Hualien, Yilan, Taipei, New Taipei, Keelung dan Taoyuan cedera akibat terkena objek tumbang atau terjatuh semasa kejadian.
Sembilan orang diselamatkan daripada bangunan lapan tingkat yang sebahagiannya runtuh di Hualien, manakala lima lagi masih terperangkap, kata polis.
Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen menyatakan kebimbangan mengenai kerosakan itu dan meminta tentera untuk membantu dalam misi menyelamat. – AGENSI