TAIPEI – Pasukan penyelamat Taiwan bergegas menyelamatkan berpuluh-puluh orang yang terperangkap dalam beberapa terowong lebuh raya selepas pulau itu dilanda gempa bumi terkuat dalam tempoh 25 tahun hari ini, lapor saluran berita CNN.
Kejadian itu mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan orang dan mencederakan ratusan yang lain.
Gempa kuat berukuran 7.4 magnitud menggegarkan pantai timur pulau itu pagi ini.
Ia berlaku pada pukul 7.58 pagi (waktu tempatan), 18 kilometer dari selatan bandar Hualien dan pada kedalaman 34.8 kilometer, demikian menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (AS).
Gempa bumi itu diikuti oleh beberapa gegaran susulan yang kuat dan dirasai di seluruh pulau itu termasuk oleh kakitangan CNN di ibu kota Taiwan, Taipei.
Agensi Bomba Kebangsaan (NFA) Taiwan berkata, sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh, 736 cedera dan 77 yang lain masih terperangkap dalam terowong jalan berikutan gempa itu.
Kesemua kematian berlaku di daerah Hualien dengan batu yang jatuh turut membunuh seorang pemandu lori di hadapan terowong di Lebuh Raya Suhua di pantai timur, tambah NFA. – AGENSI