PUTRAJAYA – Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan bertemu syarikat konglomerat, Meta Platforms Inc (Meta), Isnin ini, bagi membincangkan isu aspek keselamatan dalam talian.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata, antara isu dibincangkan termasuk cubaan pihak tidak bertanggungjawab yang dilihat memperalat rangkaian media sosial di bawah Meta bagi memesong fakta dan menyebar maklumat berita palsu.
Beliau berkata, pihaknya mendapati ada cubaan pihak tertentu memperalat Facebook, WhatsApp dan Instagram bagi tujuan itu.
“Buktinya, sejak semalam kementerian ini mendapati ada siri mesej tersusun, satu tindakan yang dimulakan oleh beberapa watak, beberapa pihak, khususnya di platform Facebook yang membuat tuduhan dangkal dan jahat.
“Antara yang dikongsi termasuk mereka (akaun media sosial) menuduh bahawa tahun ini tidak ada majlis tilawah al-Quran peringkat kebangsaan atau antarabangsa dan mesej ini diulang dengan corak sedikit berbeza,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.
Pada masa sama, Fahmi berkata, pada pertemuan sama, beliau juga akan membangkitkan isu keselamatan dalam talian mengenai kanak-kanak di bawah usia 13 tahun yang tidak sepatutnya mempunyai akaun media sosial.
Katanya, semua platform media sosial ketika ini tidak memberi penegasan melalui mekanisme ketat untuk menghalang kanak-kanak daripada membuka akaun media sosial. – KOSMO! ONLINE