fbpx

Bukti kerja keras Sivasangari tuai hasil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SIVASANGARI menunjukkan trofi dimenangi selepas menewaskan pemain No.2 dunia pada final London Klasik malam kelmarin. – S. SIVASANGARI

KEJAYAAN merangkul kejua­raan pada Kejohanan Skuasy London Klasik dianggap sebagai kejayaan cukup bermakna buat pemain skuasy wanita negara, S. Sivasangari memandangkan ia adalah gelaran pertama diraih­nya dalam Jelajah Dunia PSA bertaraf Emas.

Pada aksi final di Alexandra Palace malam kelmarin, Sivasangari mengekalkan rentak cemerlang apabila berjaya menewaskan pemain No.2 dunia dari Mesir, Hania El Hammamy 11-9, 5-11, 13-11, 12-14, 11-8 dalam tempoh lebih sejam.

Lebih manis, kejayaan itu ha­dir selepas dia bangkit daripada mimpi ngeri cedera di bahagian muka dan tulang belakang di­alami ekoran kemalangan jalan raya dialaminya pada Jun 2022.

“Ia cukup bermakna. Saya rasa ketika kali terakhir saya beraksi di kejohanan bertaraf Emas, saya tewas di suku akhir, tetapi kali ini dapat mara ke final dan ia adalah satu perasaan yang agak gila.

“Saya selalu menyaksikan (Nour) El Sherbini, Nele (Gilis) dan Hania (El Hammamy) ber­aksi di separuh akhir, tetapi kali ini untuk memenangi kejohanan sangat menggembirakan. Saya bangga bagaimana saya dapat melakukannya,” katanya.

Dalam laluannya mengecap kejayaan, pemain No.13 dunia itu menampilkan aksi menakjubkan apabila menyingkirkan El Sherbini yang menghuni ranking pertama dunia di pusingan suku akhir sebelum membenam Gilis (No.4 dunia) di separuh akhir.

Sivasangari juga melakar sejarah tersendiri apabila menjadi pemain Malaysia pertama mara ke final kejohanan bertaraf Emas dalam saingan Jelajah Dunia PSA selepas kali terakhir dilakukan legenda skuasy negara, Datuk Nicol David pada 2015.

“Saya tidak dapat melakukannya tanpa bimbingan jurulatih dan penaja. Tanpa mereka, saya tidak akan berada di sini sekarang. Satu perjalanan yang sukar dipercayai selepas apa insiden dua tahun lalu,” ujarnya.

Selaku juara, Sivasangari membawa pulang hadiah wang tunai AS$17,598 (RM83,141) berserta trofi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI