KUALA LUMPUR – Sebanyak 26,108 lesen peniaga dibatalkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dari tahun 2022 hingga kini kerana melanggar syarat-syarat lesen atau premis yang ditetapkan atau memindah milik lesen atau permit mereka kepada warga asing.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata, ia dilakukan menerusi 2,031 operasi penguatkuasaan terhadap premis perniagaan melibatkan warga asing.
Katanya, tindakan itu menunjukkan kerajaan tidak mengiktiraf dan membenarkan warga asing sebagai penjaja dan peniaga kecil di negara ini.
“PBT tidak pernah membenarkan mana-mana warga asing untuk memohon memiliki lesen penjaja, peniaga kecil, premis perniagaan, kedai runcit, kedai makan, bengkel kereta dan di pasar-pasar.
“Ia selaras dengan Undang-Undang Kecil (UUK) Penjaja dan UUK Tred, Perniagaan dan Perindustrian,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Ahmad Ibrahim yang ingin mengetahui sejauh mana kesiapsiagaan PBT dalam membasmi masalah kebanjiran peniaga yang tidak berlesen dalam kalangan pendatang asing tanpa izin yang mencemarkan imej kawasan setempat.
Katanya, perniagaan dan perindustrian memaktubkan pengeluaran lesen perniagaan hanya dikeluarkan untuk warganegara Malaysia dan membenarkan warga asing diambil bekerja sebagai pekerja atau pembantu dengan syarat memiliki pas kerja atau permit dagang yang sah.
Untuk itu jelasnya, PBT sentiasa melakukan pemantauan secara berkala ke atas premis-premis perniagaan dan penjaja di kawasan PBT terutamanya yang menjadi tumpuan warga asing. -KOSMO! ONLINE.