KOTA BHARU – Seramai 136 tahanan warga asing yang ditempatkan di Depot Imigresen Tanah Merah, Tanah Merah dekat sini dihantar pulang ke negara asal mereka, hari ini.
Pengarah Jabatan Imigresen (JIM) Kelantan, Mohd. Faizal Shamsudin berkata, kesemua tahanan dihantar pulang melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang di Selangor.
Menurutnya, tahanan yang dihantar melibatkan seramai 119 orang lelaki, 13 orang wanita, empat kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki.
“Penerbangan menghantar pulang tahanan melibatkan destinasi ke Istanbul di Turkiye, Phnom Penh (Kemboja), Yangon (Myanmar) Ho Chi Minh (Vietnam), Dhaka (Bangladesh) dan Delhi (India).
“Kesemua warga asing itu sebelum ini ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE