SERDANG – Selepas tiga hari operasi mencari dan menyelamat, seorang kanak-kanak berusia empat tahun terbabit kejadian kepala air sebuah sungai di sini, ditemui kira-kira tujuh kilometer daripada lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam yang menemui mayat kanak-kanak perempuan itu di Lombong D’Island berhampiran dengan Jalan Puchong – Cyberjaya, Putra Perdana, di sini.
“Dalam pukul 8.17 pagi, pihak polis dan bomba menerima maklumat tersebut daripada orang awam berhubung penemuan mayat budak tersebut.
“Selesai menerima maklumat, pihak bomba telah ke lokasi keberadaan mayat tersebut dengan menaiki bot untuk mengambil mayat. Bapa si mati telah mengesahkan itu adalah anak bongsunya,” katanya.
Menurut beliau, mayat berkenaan telah dihantar ke Hospital Serdang untuk tujuan bedah siasat.
“Kesemua mangsa yang terlibat dalam kejadian (kepala air) telah ditemui,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, tiga beranak dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan dalam kejadian kepala air di sebuah sungai di Jalan KP 4/9 Kota Perdana, di sini, kelmarin.
Kejadian pada pukul 4.35 petang dimaklumkan sendiri oleh bapa mangsa.
Menurut bapa mangsa, terdapat tiga orang kanak-kanak (dua lelaki satu perempuan) dan seorang wanita dewasa telah lemas di sungai.
Anak lelaki mangsa berusia sembilan tahun berjaya ditemui dalam keadaan selamat sekitar pukul 5 petang manakala seorang lagi anak lelakinya berusia 10 tahun ditemui maut pada pukul 7.01 malam.
Pada semalam, operasi mencari dan menyelamat berjaya menemui mayat isteri mangsa kira-kira 10 kilometer daripada lokasi kejadian sekitar pukul 1.20 petang. – KOSMO! ONLINE.