KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan keuntungan 3.1 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023, setelah mengambil kira pelunasan zakat sebanyak 2.57 peratus.
Agihan tersebut melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM2.72 bilion, yang akan memberi manfaat kepada lebih 9.15 juta pendeposit TH.
Ia dibuat setelah penyata kewangan TH tahun 2023 selesai diaudit oleh Jabatan Audit Negara dan telah mengambil kira rosot nilai terutamanya pelaburan legasi pajakan hartanah di Arab Saudi dan pelaburan hartanah di United Kingdom.
Pengiraan agihan keuntungan 2023 adalah berdasarkan purata baki simpanan terendah setiap bulan sepanjang tahun dan para pendeposit boleh menyemak agihan keuntungan yang dikreditkan ke akaun masing-masing bermula pukul 12 tengah hari ini. – KOSMO! ONLINE