MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mula melancarkan perang psikologi terhadap Liverpool apabila melabelkan pasukan itu sebagai pilihan untuk merangkul gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Beliau mengeluarkan kenyataan tersebut selepas menyaksikan pasukannya kini menghuni tangga ketiga liga selepas mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang satu lagi pencabar kejuaraan, Arsenal di Stadium Etihad malam kelmarin.
Meskipun menghuni tangga ketiga, namun peluang The Citizens untuk mempertahankan gelaran masih belum tertutup memandangkan mereka hanya dibezakan tiga mata dengan Liverpool selain ketinggalan satu mata kepada Arsenal di tangga kedua.
“Ya, sesiapa yang berada di kedudukan pertama (Liverpool) akan sentiasa dianggap sebagai pilihan untuk menjadi juara. Arsenal adalah pasukan pilihan kedua manakala kami di tempat ketiga.
“Ia bukanlah sesuatu yang boleh dikawal kerana tugas kami hanyalah untuk fokus terhadap setiap perlawanan akan datang. Saingan liga masih belum tamat, jadi kami akan cuba menang kesemua baki perlawanan,” katanya.
Mengulas corak bertahan yang diterapkan Arsenal pada perlawanan tersebut, Guardiola secara berseloroh berkata, mereka perlu ‘membunuh’ seseorang jika mahu menjaringkan gol berdepan pertahanan seperti itu.
“Kami perlu ‘bunuh’ seseorang dan bermain dengan sembilan pemain. Mereka berkampung dalam kawasan sendiri selain merantai pergerakan Erling (Haaland) sepanjang perlawanan dan ia menyukarkan kami,” ujar bekas jurulatih Barcelona itu. – AGENSI