fbpx

Media digital makin dominan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saluran media digital dilihat semakin menyerlah berbanding media tradisional –GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Kenanga Research meramalkan perbelanjaan pengiklanan (adex) pada tahun 2024 menurun sebanyak 0.3 peratus berbanding peningkatan 1.7 peratus yang disaksikan pada tahun lalu.

Firma penyelidikan pasaran itu berkata, pihaknya menjangkakan perbelanjaan budi bicara akan ditekan oleh pelaksanaan cukai-cukai baharu pada tahun ini.

Ini termasuk cukai barangan mewah antara lima dan 10 peratus ke atas barangan tertentu bernilai lebih RM10,000 dan kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang lebih tinggi sebanyak lapan peratus daripada enam peratus sebelum ini.

“Bagaimanapun, selaras dengan penguasaan media digital dan tarikan pertumbuhannya, kami menjangkakan jumlah perbelanjaan pengiklanan pada tahun 2024 (tidak termasuk digital) akan menurun sebanyak 1.8 peratus tahun ke tahun, sementara adex digital akan terus meningkat sebanyak lima peratus dari tahun ke tahun,” katanya dalam nota penyelidikan yang diterbitkan baru-baru ini.

Menurut Kenanga, peningkatan penguasaan pasaran bagi media digital berkemungkinan besar akan berterusan.

“Kami percaya media tradisional (televisyen, radio dan surat khabar) tidak akan dapat memulihkan bahagian adex yang hilang kepada media digital. Ini disebabkan oleh aliran struktur di mana minat beralih kepada penstriman aplikasi atau website (seperti Youtube, Spotify, Apple Music), aplikasi mudah alih (Waze, Grab, CamScanner), dan platform media sosial (Instagram, TikTok, Facebook, X).

“Jelas sekali, sejak tiga tahun lalu, bahagian adex media digital telah meningkat secara progresif daripada 15.7 peratus dalam suku tahun keempat 2020 kepada 23.5 peratus dalam suku tahun keempat 2023,” ujarnya.

Tambahnya media digital akan terus berkembang pesat memandangkan revolusi semasa dalam teknologi kecerdasan buatan (AI) generatif.

“Jurang ekonomi antara media digital dan tradisional bakal terus meluas disebabkan oleh percambahan pencipta kandungan digital memandangkan halangan kemasukan yang rendah; perubahan struktur minat kepada format video pendek dan jualan strim langsung pada platform digital; dan aplikasi AI dalam media digital yang mengatur kandungan dan iklan yang diperibadikan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI