PETALING JAYA – Suami kepada penyanyi Adira iaitu Datuk Red bersyukur apabila biskut raya yang dipromosikan mendapat sambutan luar biasa sehingga meraih jualan sebanyak RM78,000 sehari.
Bagaimanapun, Red atau nama sebenarnya Datuk Seri Adnan Abu, 46, menafikan untung besar, sebaliknya menyatakan dia hanya affiliate iaitu ejen yang hanya menerima komisen.
“Alhamdulillah. Memang betul RM78,000 adalah jumlah kasar penjualan biskut raya dalam TikTok.
“Namun, itu bukan produk saya, saya cuma orang tengah atau affiliate yang hanya diberikan persen mengikut jumlah barang yang saya jual.
“Ini kerja affiliate pertama saya dan selepas ini saya tidak akan ambil tawaran lagi kerana mahu fokus buat produk sendiri. Sekarang saya cari modal,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Dalam masa sama, Datuk Red turut menegaskan niatnya hanya mahu membuka perniagaan sendiri demi melangsaikan hutang selain menyara diri dan keluarga.
“Saya ingat mahu keluarkan baju T jenama sendiri dan berkemungkinan persiapan dapat dilakukan selepas raya.
“Apabila bermain TikTok, saya rasa macam muda 10 tahun. Jadi, sasaran saya untuk baju T ini adalah kepada trend terkini orang muda.
“Saya ambil pandangan kawan-kawan yang lebih mahir dan cuba untuk jual baju demi kelangsungan hidup serta melunaskan hutang,” jelasnya lagi.
Sedar akan gesaan netizen mengenai bayaran hutang, lelaki yang mempunyai 11 orang cahaya mata itu turut memaklumkan akan menyelesaikan hutang selepas dapat menjalankan perniagaan.
“Saya sedia maklum ada hutang berjuta, kalau saya langsaikan semua dengan duit yang saya ada ini macam mana mahu berniaga.
“Minta beri saya masa, ini baru seminggu ada orang suruh bayar hutang tetapi bagaimana saya ingin teruskan kehidupan.
“Saya berniaga sebab mahu gandakan duit. Bila sampai masanya saya akan bayar semua hutang. Itu cara saya,” tuturnya.
Dia juga memohon orang ramai menyokong usaha kerasnya dalam perniagaan terutama sekali dalam melangsaikan segala hutang yang sedia ada.
“Sabar. Saya tidak lari dan akan bayar. Bagi saya peluang, jangan lunturkan semangat saya untuk berusaha mencari duit.
“Kadang-kadang orang luar yang melebih-lebih. Padahal orang-orang yang saya hutang siap hubungi saya bagi semangat,” ujarnya.
Menurut laporan Kosmo! Online, ahli perniagaan itu didakwa memperoleh pendapatan RM78,000 sehari hasil jualan biskut menerusi aplikasi TikTok.
Baru-baru ini, Adira turut memberi sokongan terhadap Datuk Red termasuk membantu mempromosikan biskut jualan dalam Instagramnya.
Sebelum ini, dia mendedahkan ditanggung dua isteri kerana muflis pada 2019 sehingga sukar mendapat pekerjaan.
Datuk Red kemudian membuat video dalam aplikasi TikTok sebagai usaha terakhir mencari pekerjaan untuk menyara keluarga dan melangsaikan hutang.
Rayuan terbukanya meraih perhatian pelbagai syarikat yang menawarkannya pekerjaan termasuk sebagai model baju Melayu jenama terkemuka. – KOSMO! ONLINE