LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp tetap mempertahankan kualiti Mohamed Salah yang meledak gol kemenangan ketika menewaskan Brighton 2-1 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield malam kelmarin.
Pada perlawanan itu, bintang dari Mesir itu dihidangkan 12 peluang, namun hanya satu daripadanya mampu membuahkan hasil biarpun tiga mata diraih dalam aksi tersebut mengembalikan The Reds ke puncak liga.
Salah adalah pemain EPL kedua gagal menyempurnakan 12 peluang terbaik sejak Zlatan Ibrahimovic mengalami detik malang yang sama ketika aksi Manchester United menentang Burnley pada Oktober 2016.
“Saya bayangkan dalam kariernya, Mo (Salah) mampu sempurnakan setiap peluang seperti itu dan jelas ia akan menghadirkan satu jumlah yang cukup besar. Kita perlu akui sentuhan penyudahnya tidak sebagus apa yang sepatutnya dia mampu lakukan.
“Tetapi dia kekal tenang dan itulah tanda-tanda seorang penjaring gol yang hebat,” kata Klopp.
Terdahulu, Brighton memulakan perlawanan dengan langkah kanan apabila Danny Welbeck membuka jaringan seawal minit kedua, namun Luis Diaz kembali menyamakan kedudukan sebelum Salah menyempurnakan umpanan Alexis Mac Allister.
The Reds kini memimpin carta EPL dengan 67 mata, berkelebihan dua mata ke atas Arsenal yang terikat tanpa jaringan dengan Manchester City di Stadium Etihad lewat malam kelmarin. – AGENSI