PETALING JAYA – Syarikat amanah patuh syariah, Wasiyyah Shoppe Berhad (Wasiyyah) mengumumkan kejayaannya memperoleh perintah pengesahan hibah pertama untuk dokumen hibah digital pelanggan yang disediakan melalui aplikasi mudah alih, Usra Hibah Digital Document (UsraHDD) pada 31 Mac lalu daripada Mahkamah Syariah Johor.
UsraHDD adalah sistem aplikasi mudah alih pelaksanaan akad hibah digital melalui telefon pintar tanpa kertas pertama di dunia, dibangunkan oleh kepakaran dalaman Wasiyyah sendiri dan dilancarkan pada Mac 2023.
Melalui sistem ini, pemberi dan penerima hibah boleh berakad hibah secara digital melalui telefon mereka pada masa sebenar bila-bila masa, dan ia boleh dibuat di sebarang lokasi seluruh dunia.
Dokumen hibah beserta syaratnya yang telah sempurna diakadkan akan disimpan di sistem awan dan boleh dicapai oleh pemberi dan penerima hibah pada bila-bila masa.
Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah, Ariffin Sabirin berkata, aplikasi itu dicipta sepenuhnya oleh pakar teknologi anak tempatan dalaman syarikat, dan ia merupakan teknologi yang pertama seumpamanya di dunia.
“Perintah pengesahan hibah yang kami peroleh untuk dokumen hibah melalui UsraHDD ini membuktikan bahawa mahkamah syariah mengiktiraf dokumen hibah digital dan Wasiyyah Shoppe Berhad berbangga menjadi pelopor kepada kaedah digital ini di Malaysia,” katanya.
Wasiyyah menjangkakan seramai 20,000 orang pelanggan akan menggunakan aplikasi mudah alih UsraHDD pada tahun kewangan 24/25 dengan nilai transaksi mencecah RM40 juta. -KOSMO! ONLINE