KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil bersedia untuk mempertimbangkan cadangan untuk menerajui Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) bagi menggantikan Khalid Samad yang melepaskan jawatannya, baru-baru ini.
Bagaimanapun dalam tempoh terdekat ini fokus utama Fahmi selaku penaung Kuala Lumpur City adalah lebih menjurus kepada memastikan segala keperluan asas pasukan dapat ditunaikan sekaligus membolehkan kelab itu berada dalam keadaan bersedia untuk bersaing di Liga Malaysia (Liga M).
“Ada beberapa cadangan dan kita pertimbangkan. Saya sebagai ahli parlimen di Kuala Lumpur dan Menteri Komunikasi sudah pasti saya ingin pastikan KLFA sendiri dapat dikemudi dengan baik dan dapat bantu kelab yang bernaung, ahli gabungan dapat peluang terbaik.
“Jadi saya percaya InsyaAllah bila tiba masanya kita akan buat beberapa pengumuman namun yang penting sekarang saya akan pastikan keperluan KL City dapat disediakan. Waktu ini saya tidak memandang perkara itu sebaliknya saya nak pastikan isu gaji, tahap kesiapsiagaan stadium (Stadium Bolasepak Kuala Lumpur).
“Jadi fokus kita sekarang lebih tertumpu kepada beberapa perkara asas ini,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan KL City di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, semalam.
Pada pertengahan bulan lalu, KLFA kehilangan nakhoda apabila Khalid ambil keputusan melepaskan jawatannya sebagai presiden.
Latihan itu turut disertai bintang tengah Harimau Malaya, Brendan Gan yang baharu saja diumumkan sebagai pemain baharu skuad The City Boys.
“Saya percaya kehadiran Brendan akan menambahkan dan membakar semangat rakan sepasukan yang lain untuk harungi persediaan sebelum memulakan saingan musim baharu,” kata Fahmi. – KOSMO! ONLINE