fbpx

Cinta, kasih sayang jadi tema busana lebaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SETIAP busana tampil cukup ringkas dan tidak terlalu sarat.

PERASAAN cinta sering menjadi tema bagi penghasilan sesuatu busana.

Bagi menterjemah perasaan cinta dalam bentuk busana Aidilfitri, label pakaian tempatan, Amber baru-baru ini mengadakan pertunjukan fesyen raya bertempat di The Estate, Kuala Lumpur.

Bagi koleksi Aidilfitri tahun ini, jenama itu menjalin kerjasama dengan pelakon jelita, Anna Jobling bagi koleksi yang dipanggil Atma Sari.

Pengasas Amber, Datuk Adzliana Hasan atau lebih dikenali sebagai Datuk Nana merupakan figura yang tidak asing lagi dalam dunia kepimpinan wanita.

Ini memandangkan wanita hebat itu juga menerajui USANITA Sdn. Bhd. (USANITA) yang merupakan organisasi aktif dalam usaha memajukan aspek perniagaan dan pembangunan sosioekonomi usahawan tempatan.

Berkongsi tentang koleksi Amber Atma Sari x Anna Jobling, Datuk Nana berkata, koleksi terbaharu itu menampilkan 15 rekaan baju lelaki dan wanita yang sesuai digayakan bukan sahaja semasa musim lebaran, malah sebagai pakaian harian.

“Jika dilihat, koleksi Amber Aidilfitri kali ini cukup ringkas, namun elegan serta didatangkan dengan corak yang sangat minimalis.

“Corak-corak yang ditampilkan juga nampak moden. Bagi saya koleksi ini cukup sesuai untuk digayakan oleh semua golongan usia,” katanya.

Menariknya, tema cinta dan kasih sayang koleksi Atma Sari diterjemah menerusi sebuah sketsa pendek bertajuk Jodoh Anna.

Warna-warna pastel mendominasi koleksi pakaian wanita, manakala rona bold atau berani pula banyak digunakan pada busana kurta lelaki.

ANNA (kiri) dipilih menjadi rakan kerjasama bagi koleksi Atma Sari.

Seleksi baju kurung berpotongan moden dan klasik menjadikan setiap pakaian dalam koleksi Atma Sari sangat versatil.

Misalnya, rekaan ‘Kuntum’ menampilkan busana kurung Kedah dengan perincian sulaman pada bahagian lengan.

Ia didatangkan dengan selendang rona senada yang menjadikan pemakainya tampak ayu ketika beraya.

Bagi rekaan ‘Mawar’ pula, ia menampilkan rekaan kurung moden dengan perincian sulaman pada bahagian bahu dan leher.

Lengan berpotongan kembang pula menjadikan busana itu tampak elegan dan lain daripada lain.

Bercerita tentang kerjasama bersama pelakon berusia 23 tahun itu lagi, Datuk Nana berkata, Anna memilih sendiri warna dan rekaan yang dimahukan mengikut cita rasanya.

“Rekaan kali ini cukup ringkas kerana jika dilihat, Anna ini sebenarnya gemar bergaya ringkas dan tidak sukakan sesuatu yang terlalu sarat.

“Maka, motif sulaman minimalis diketengahkan dalam koleksi ini kerana kami mahukan sesuatu yang ‘less is more’ atau tidak berlebih-lebihan,” katanya.

Mengulas tentang pemilihan fabrik pula, Datuk Nana memberitahu, dia amat mementingkan penggunaan kain yang selesa dan tidak panas.

“Fabrik linen menjadi pilihan memandangkan ia selesa untuk dipakai sepanjang hari dan sesuai buat cuaca panas di negara ini,” katanya.

Koleksi Atma Sari boleh didapati dalam laman web rasmi dan platform beli-belah e-commerce seperti Zalora dan Shopee.

Koleksi jenama itu juga boleh didapati di beberapa cawangan pop up store di pusat beli-belah seperti Isetan KLCC, Isetan Gardens Kuala Lumpur (KL), Isetan Lot 10 dan Sogo KL.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI