fbpx

Bekalan air di Pasir Mas, Tumpat pulih menjelang Aidilfitri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Izani (kiri) meninjau keadaan muka sauk LRA Kelar di Pasir Mas yang semakin pulih selepas mengalami penurunan paras air yang kritikal baru-baru ini. FOTO ROHANA ISMAIL/KOSMO!

PASIR MAS – Bekalan air untuk kegunaan penduduk di Tumpat dan Pasir Mas akan pulih sepenuhnya menjelang Hari Raya Aidilfitri selepas dua pam air di Loji Rawatan Air (LRA) Kelar, di sini sudah dibaiki.

Pengerusi Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Datuk Dr. Izani Husin berkata, LRA Kelar ketika ini sudah beroperasi seperti biasa.

Katanya, notis pemakluman kepada sebanyak 48,635 pelanggan Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) di jajahan Pasir Mas dan Tumpat yang mengalami gangguan bekalan air sejak Sabtu lalu juga sudah ditarik balik.

“Bekalan air mencukupi dan pulih sepenuhnya apabila LRA Kelar kini boleh membekalkan 80 juta liter sehari (MLD) sedangkan keperluan hanya 64 MLD untuk daerah Pasir Mas dan Tumpat.

“Sebelum ini, dua pam mengalami kerosakan akibat mendapan pasir, sampah dan paras air sungai susut disebabkan cuaca kemarau,” katanya kepada pemberita ketika lawatan di LRA Kelar, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Izani memberitahu, masalah gangguan air di kawasan sempadan di Pengkalan Kubor, Tumpat juga sudah diselesaikan apabila dua telaga tiub dibina di Kuala Jambu.

Menurutnya, telaga tiub itu dapat membekalkan 2 MLD kepada 2,000 akaun pengguna sekali gus menyelesaikan masalah gangguan air di Kampung Bendang Pak Yong dan sekitar.

Izani berkata, pihaknya juga sedang dalam proses membina projek Loji Kelar 2 yang membekalkan 20 MLD air dan dijangka tendernya akan dibuka pada Jun ini.

“Satu lagi loji air akan dibina di Pangkalan Nangka yang bakal memberi manfaat kepada 50,000 penduduk Tumpat. Kesemua projek itu akan siap menjelang 2028,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI