JOHOR BAHRU – Sempena kedatangan Aidilfitri tidak lama lagi, seorang ibu tunggal mengambil inisiatif mengagihkan pakaian raya secara percuma kepada orang ramai di warung miliknya di Kampung Sentosa, di sini sejak 2 Ramadan lalu.
Fatimah Halid, 44, berkata, lebih 4,000 baju raya dikumpulkan hasil sumbangan orang ramai untuk diagihkan kepada golongan yang kurang berkemampuan.
“Saya sedar tidak semua orang mampu membeli baju raya, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi mencabar ketika ini. Ini adalah tahun keempat program amal ini dilaksanakan.
“Semua pakaian yang dikumpul dalam keadaan baik dan bersih. Terdapat pelbagai saiz untuk semua peringkat usia,” katanya ketika ditemui semalam.
Menurut Fatimah, sambutan yang diterima amat menggalakkan, malah ada yang sanggup datang dari Megah Ria, Masai, Plentong, Pasir Gudang dan Ulu Tiram untuk mendapatkan pakaian percuma tersebut.
“Setakat ini, kira-kira 1,000 pakaian raya percuma telah diagihkan. Kebanyakan mereka yang datang ini menyatakan terpaksa berjimat membeli baju raya kerana mendahulukan perbelanjaan lain termasuk persekolahan anak-anak,” katanya.
Selain pakaian, Fatimah turut mengumpul selipar, kasut, tudung, songkok, kuih raya dan kerepek.
“Saya pernah tempuh detik sukar sebelum ini, jadi saya memahami keperitan orang lain,” katanya.
Sementara itu, suri rumah, Siti Kartini Abdullah, 55, melahirkan rasa syukur mendapat pakaian raya untuk ahli keluarganya.
“Selama dua tahun, kami tidak beli pakaian raya untuk anak kerana masalah kewangan. Saya tahu tentang sumbangan ini dari Facebook,” katanya.