LAHAD DATU – Mahkamah Majistret Lahad Datu, hari ini mendakwa 13 remaja atas pertuduhan membunuh seorang pelajar Kolej Vokasional pada bulan lalu.
Semua tertuduh berumur 16 hingga 19 tahun berkenaan dituduh bersama-sama membunuh Mohammad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, di Bilik Asrama 7 Resak dan 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu pada kira-kira pukul 9 malam 21 Mac hingga 7.38 pagi 22 Mac.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh.
Prosiding dilakukan secara tertutup di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Hanya keluarga tertuduh dibenarkan berada dalam bilik bicara berikutan kes melibatkan juvana.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ng Juhn Tao, manakala dua daripada tertuduh diwakili peguam, Amirul Amin Rashid serta Kamarudin Mohmad Chinki manakala baki 11 tertuduh lain tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 16 Mei ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia serta bedah siasat diserahkan.
Kesemua remaja lelaki yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun, namun tidak melebihi 40 tahun dan tidak lebih 12 sebatan jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE