PETALING JAYA – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Bendahari UMNO Selangor berkuat kuasa hari ini.
Menerusi hantaran di Facebook miliknya, keputusan itu dibuat lantaran kebangkitan parti tersebut di Selangor dilihat hambar dan tidak sehaluan dengan tema UMNO di pusat.
“Saya melihat sendiri bagaimana Presiden UMNO (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) dan kepimpinan nasional tidak henti merangka jalan kebangkitan parti di peringkat pusat.
“Namun, sejauh mana hebat perencanaan pusat, yang melaksana ada di negeri dan ke bawah,” katanya hari ini.
Tengku Zafrul berkata, beliau tidak mampu mengulas buat negeri lain, tetapi pelaksanaan di Selangor adalah hambar dan ada ketika tidak sehaluan dengan tema di pusat.
Katanya, pendekatan dan prinsipnya mudah yang mana jika tidak dapat menyumbang kepada perubahan positif atau penambahbaikan, maka beliau tidak harus memegang sesuatu jawatan.
“Lebih baik saya mengosongkan jawatan untuk diisi orang yang boleh menyumbang dengan lebih efektif.
“Sewaktu saya dipilih sebagai ahli MKT UMNO dari Selangor dan dilantik Bendahari UMNO Selangor lebih setahun dulu, saya sudah meletakkan satu matlamat utama untuk menyumbang,” ujarnya.
Tengku Zafrul berkata, Selangor merupakan negeri yang penting untuk mana-mana parti politik bertapak keranan memilik demografi majmuk dengan asas majoriti Melayu Bumiputera, ditambah dengan keseimbangan bandar serta luar bandar.
Malah, katanya, UMNO sukar digelar parti nasional atau parti untuk masa depan jika tidak ada keberadaan yang kuat di Selangor, katanya.
“Keputusan pilihan raya negeri di Selangor tahun lalu sewajarnya menjadi tanda jelas bahawa sesuatu perubahan perlu dilaksanakan dengan segera.
“Antara lain, tawaran kepada pengundi Selangor harus dibina dengan lengkap, diuji dan disemak dengan pemegang taruh,” jelasnya.
Tambahnya, kerjasama dengan parti-parti lain mesti diperkuat, bukannya dilemahkan atas angan-angan bahawa masalah UMNO terletak pada hubungannya dengan parti lain. – KOSMO! ONLINE