fbpx

Sivasangari muncul juara London Klasik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SIVASANGARI merangkul gelaran sulung kejohanan bertaraf emas dalam saingan Jelajah Dunia PSA selepas menundukkan El Hammamy di perlawanan akhir London Klasik sebentar tadi. - PSA

KUALA LUMPUR – Pemain skuasy wanita No.1 negara, S. Sivasangari mengekalkan rentak cemerlang pada kejohanan London Klasik apabila muncul juara selepas menewaskan pemain No.2 dunia dari Mesir, Hania El Hammamy di perlawanan akhir sebentar tadi.

Pada aksi final di Alexandra Palace itu, Sivasangari menampilkan aksi cukup baik selain meletakkan lawannya dalam keadaan tertekan sebelum mencatat kemenangan 11-9, 5-11, 13-11, 12-14, 11-8 dalam tempoh lebih sejam.

Turun sebagai pemain bukan pilihan nyata membolehkan pemain No.13 dunia itu beraksi dalam keadaan lebih tenang selain pukulan-pukulan dilakukan berjaya mengelirukan El Hammamy.

“Tidak tahu bagaimana untuk buat kesimpulan tetapi aksi saya sepanjang minggu ini (cukup baik), menewaskan pemain kelompok 10 teratas dunia sebanyak tiga kali. Saya gembira dengan kemenangan ini,” katanya sejurus tamat perlawanan.

Sivasangari berpeluang untuk menamatkan perlawanan itu lebih awal apabila beberapa kali berada pada mata akhir di set keempat, namun El Hammamy bangkit dengan aksi lebih kemas untuk memastikan kemenangan dan mengheret permainan ke set penentuan.

Pada set terakhir, pemain berusia 25 tahun itu tidak menoleh ke belakang lagi apabila menjarakkan diri dengan perbezaan mata cukup besar sebelum memastikan kejuaraan menjadi miliknya menerusi kemenangan 11-8.

Sebagai rekod, keputusan itu menyaksikan Sivasangari mencatat kemenangan kedua ke atas El Hammamy dalam enam pertemuan dengan tiga perlawanan terakhir menjadi milik pemain Mesir itu.

Terdahulu, Sivasangari mencipta sensasi di pusingan suku akhir apabila menyingkirkan rakan sepasukan El Hammamy yang juga pemain No.1 dunia, Nour El Sherbini selepas menang dalam aksi straight set 11-9, 11-9.

Dia juga melakar sejarah tersendiri apabila menjadi pemain Malaysia pertama mara ke final kejohanan bertaraf emas dalam saingan Jelajah Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA) selepas kali terakhir dilakukan legenda skuasy negara, Datuk Nicol David pada 2015. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI