KUALA LUMPUR – Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak meletakkan harapan untuk diberikan gelaran Biduanita Negara, selepas dikatakan layak untuk mendapat penghargaan tertinggi dalam bidang seni itu.
Siti atau nama lengkapnya Siti Nurhaliza Taruddin, 45, ketika ditemui berkata, tujuan dia berkecimpung dalam bidang seni sebagai penyanyi sejak 27 tahun lalu, bukanlah untuk memburu penghargaan atau pengiktirafan, sebaliknya kerana minat dan mahu menghiburkan penggemarnya.
“Tak perlulah saya mengharap sangat (gelaran biduanita). Sebab kerja-kerja yang saya lakukan sekarang (menyanyi), memang saya buat sebab minat.
“Saya suka melihat peminat-peminat saya gembira. Saya tidak pernah fikir, kalau buat sesuatu itu kerana mengharapkan penghargaan,” katanya kepada Kosmo! Online.
Bagaimanapun, Siti yang ditemui ketika majlis Iftar Nurjiwa Prihatin di sini, baru-baru ini, jika sudah tertulis rezekinya untuk diberikan gelaran tersohor itu, sampai masa nanti dia akan diberikan juga gelaran tersebut.
“Dalam satu masa, saya cuma boleh kata alhamdulillah. Tapi pada masa sama juga, perkara ini bila nak jadi (rezeki), sampai masa nanti akan dapat juga.
“Namun apa yang penting, hati saya akan lagi gembira jika dapat terus menghiburkan peminat-peminat saya. Saya sangat senang jika dapat menghiburkan mereka,” ujarnya.
Terdahulu, kejayaan pelantun Percayalah itu ketika menganjurkan konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza pada 9 Mac lalu, telah menarik perhatian ramai pihak yang menyarankan agar penyanyi itu wajar diberikan gelaran Biduanita Negara.
Saranan itu turut mendapat perhatian oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang terpanggil untuk menjawab gelaran Biduanita Negara yang mungkin boleh diberikan kepada Siti.
Untuk rekod, gelaran Biduanita Negara buat masa ini hanya diberikan kepada dia penyanyi sahaja iaitu Allahyarhaman Puan Seri Saloma dan Allahyarhaman Datuk Sharifah Aini. – KOSMO! ONLINE