KOTA BHARU – Siasatan kes melibatkan seorang guru Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tumpat yang didakwa melakukan pedofilia terhadap murid lelaki dijangka selesai dalam tempoh sebulan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, setakat ini, seramai empat saksi telah dipanggil untuk membantu siasatan.
Menurutnya, pihak polis juga akan memanggil saksi-saksi lain seperti pelajar senior dan guru-guru yang sudah bertukar yang berkemungkinan mempunyai maklumat mengenai kes tersebut.
“Kes ini perlu segera diselesaikan kerana ia melibatkan kerjaya guru yang didakwa melakukan perbuatan tersebut.
“Jadi, siasatan mendalam sedang dijalankan dan dijangka selesai dalam tempoh sebulan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.
Kosmo! Online semalam melaporkan, Polis Kelantan mengesahkan menerima laporan berhubung seorang guru MRSM Tumpat yang didakwa melakukan pedofilia terhadap murid lelaki.
Siasatan juga mengambil kira pelbagai aspek termasuk kandungan WhatsApp dan individu lain yang pernah dihubungi mangsa atau guru terbabit.
Terdahulu, Majlis Amanah Rakyat (Mara) mengarahkan siasatan segera dilakukan ke atas seorang guru yang didakwa melakukan pedofilia di MRSM Tumpat. – KOSMO! ONLINE