IPOH – Sharbat Tembikai Pakistan yang menggunakan pati sirap ros khas serta buah tembikai gred A bukan sahaja menambat selera pengunjung Bazar Ramadan Bulatan Sultan Azlan Shah, Persiaran Meru Raya, di sini, malah turut ‘dipesan’ penggemarnya di daerah lain.
Menurut Pengurus Pemasaran Sharbat Tembikai Pakistan, Tg. Shahmil Tg. Idris, minuman itu dihasilkan menggunakan pati sirap ros diimport khas dari Pakistan.
“Ramuan minuman ini menggunakan rumusan khas agar ia bersesuaian dengan selera tempatan. Sudah tentulah ia juga menggunakan buah tembikai gred A agar memuaskan hati pelanggan.
“Air ini juga mengandungi bahan seperti buah laici, kurma dan getah anggur. Kami juga tidak menggunakan ais kiub sebaliknya blok ais bagi menyejukkan minuman ini,” katanya di sini semalam.
Katanya, air Sharbat Tembikai Pakistan itu dijual pada harga RM7 bagi setiap 1 liter.
“Alhamdulillah, setiap hari kira-kira 300 bungkus minuman ini mampu terjual sejak mula berniaga pada 1 Ramadan lalu.
“Bahkan, ada pelanggan memesan minuman ini untuk dihantar dari Ipoh ke Taiping, Malim Nawar dan Tanjung Malim,” katanya. -KOSMO! ONLINE