KEMAMAN – Seekor penyu Agar jantan yang dipercayai mati akibat terjerut pukat pari ditemukan terdampar di Pantai Chakar Hutan, Kerteh di sini hari ini.
Bangkai reptilia itu ditemui orang awam yang kebetulan bersiar-siar di pantai pendaratan penyu bertelur berkenaan pada pukul 7.30 pagi.
Ahli Jawatankuasa Geng Plastik Ija (GPI) Daerah Kemaman, Normazita Ali, berkata, penyu Agar seberat 150 kilogram tersebut dipercayai terjerut pukat pari yang digunakan nelayan pesisir laut.
“Sewaktu ditemui, sebahagian bangkai penyu itu telah mereput dengan cebisan pukat pari terikat pada kepalanya.
“Saya percaya haiwan reptilia sepanjang 152.4 sentimeter itu telah mati beberapa hari lalu sebelum terdampar di pantai hari ini,” katanya di sini hari ini.
Normazita kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab segelintir nelayan yang masih lagi menggunakan pukat pari.
“Ini penyu keempat yang kami temui mati dipercayai akibat terjerut pukat pari di kawasan pantai sekitar Terengganu sejak awal tahun ini.
“Kami sangat berharap nelayan tidak mengambil jalan mudah mengaut hasil laut dengan memasang pukat pari memandangkan sekarang musim penyu naik ke pantai untuk bertelur,” katanya. – KOSMO! ONLINE