PUTRAJAYA- Kumpulan penjawat awam diminta membantu kerajaan untuk memberikan penjelasan kepada rakyat berhubung langkah yang diambil demi membantu rakyat khususnya dalam menangani peningkatan kos sara hidup.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keadaan itu berikutan kerajaan tidak sekali-kali meminggirkan masalah dihadapi rakyat meskipun menghadapi kekangan kewangan.
“Soal kritikan itu biasa, tetapi untuk mengatakan kita tidak faham, tidak prihatin kepada rakyat tidak betul. Jadi, saya minta saudara (penjawat awam) tolong jelaskan.
“Walaupun penjawat awam tidak semestinya campur politik, tapi ini soal dasar kerajaan dan bagi fakta, kalau tidak ia seolah-olah kita tidak buat apa-apa.
“Ada yang mengatakan sejak Kerajaan Madani tidak ada apa pun dilakukan dan sebagai ‘malaun’, (akan mengiyakan) ‘ya benar’. Sebab itu saya sengaja mahu ulang kenyataan dan fakta ini (bantuan rakyat),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan warga Jabatan Perdana Menteri, di sini hari ini.
Menurut Anwar, walaupun kerajaan secara keseluruhannya mempunyai hasrat dan kesungguhan melaksanakan beberapa program perubahan, namun tidak bermakna kerajaan mengenepikan keperluan memberi bantuan.
Katanya, langkah penyasaran subsidi perlu dilakukan supaya negara tidak terus menanggung kerugian berbilion ringgit akibat pengaliran wang ke luar negara.
Jelasnya, ini kerana rakyat negara jiran ‘memunggah’ minyak petrol hanya kerana harga petrol lebih murah di negara ini dengan pemberian subsidi.
“Begitu juga dengan penyelarasan subsidi elektrik yang hanya melibatkan 15 peratus kumpulan tertinggi dan langkah kerajaan memperkenalkan cukai perkhidmatan dengan banyak pengecualian diberikan kepada sektor tertentu.
“Jangan lupa pada tahun 2021, 2022 sebelum pertukaran kerajaan, harga ayam RM13 satu kilogram (kg), sekarang jauh lebih rendah sekitar RM9.
“Minyak masak 5 kg, kadang-kadang kawan pembangkang dia bising, saya ingat dia lupa masa dia jaga, harga minyak masak ketika itu RM45-RM55 per kg, sekarang sekitar RM27,” katanya. – KOSMO! ONLINE