KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengumumkan pengambilan guru baharu bagi mengisi baki kekosongan jawatan itu sebanyak 17,000, April ini.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, proses pengambilan itu dibuat secara konsisten menerusi lantikan tetap dan kontrak bagi mengatasi kekurangan guru di seluruh negara.
“Bagi saya, KPM sangat agresif. Setiap kali ada pengumuman kekurangan guru, kita akan terus tampung.
“Pengambilan terbaharu adalah pada bulan April ini dan kita akan umumkan nanti,” katanya ketika ditemui pada Majlis Iftar di Dewan Kompleks Seri Bintang, di sini hari ini.
Terdahulu, Fadhlina memaklumkan sebanyak 20,171 guru dilantik pada tahun lalu yang merupakan pencapaian tertinggi KPM dalam tempoh setahun.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, komitmen tersebut akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan sesi akademik 2024/2025 berjalan dengan lancar.
“Kita akan lakukan unjuran untuk setiap pengambilan kerana setiap hari terdapat guru yang bersara. Jadi, jangan risau, kita akan penuhi semua isu kekurangan guru ini,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.