KEMAMAN – Seorang nelayan warganegara Thailand dikhuatiri lemas ketika keluar menangkap ikan di perairan Kemaman dekat sini semalam.
Mangsa dikenali sebagai Abdullah Dueramee, 48, disedari hilang oleh salah seorang rakan nelayannya, Muhammad Madiyoh, 57, pada pukul 1.15 tengah hari.
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Ariffin Ghazali berkata, kejadian berlaku sewaktu bot nelayan mangsa yang mengalami kerosakan berada pada kedudukan kira-kira 31.49 kilometer dari perairan Kuala Kemaman dekat sini.
“Sewaktu kejadian, mangsa dikatakan telah terjun ke dalam laut untuk membuang tali yang telah terbelit pada bahagian kipas bot.
“Pada mulanya mangsa dikatakan menyelam seperti biasa termasuk beberapa kali timbul ke permukaan air untuk bernafas sebelum tiba-tiba tenggelam,” katanya di sini hari ini.
Ariffin berkata, salah seorang rakan nelayan Abdullah kemudiannya menghubungi tekong bot utama untuk meminta bantuan setelah mangsa tidak menyahut panggilannya.
Tambah beliau, Maritim Malaysia (APMM) telah mengaktifkan operasi dan menyelamat selepas menerima maklumat berhubung insiden itu mulai, pukul 1.30 tengah hari semalam.
“Bot Perkasa 49 telah digerakkan untuk mencari mangsa namun setakat ini tiada lagi pertunjuk positif diperolehi,” katanya. – KOSMO! ONLINE