PETALING JAYA – Penyanyi era 80-an, Shidee mengakui masih keliru untuk memahami punca pergaduhan dengan abang ipar yang mengakibatkannya ditahan polis pada 25 Mac lalu.
Kata pemilik nama penuh Rashid Abdul Wahab, 65, perkara yang diingati adalah kemarahan lelaki berusia 41 tahun itu yang mendakwa dia menghalang laluan dalam rumah ibu mentua sehari sebelum itu.
“Saya yang ketika itu sedang menghafal lagu diminta alihkan kaki kerana dikatakan mengganggu laluan, tapi saya tanya kenapa kena alihkan kaki sedangkan dia masih boleh jalan?
“Kemudian dia (abang ipar) masuk ke dalam bilik air sambil merungut, apabila keluar dia marah-marah lagi tanpa saya tahu puncanya.
“Berlaku pertengkaran pada malam itu, ada tolak menolak tapi habis malam itu, saja,” katanya ketika di wawancara dalam sebuah program hiburan, semalam.
Penyanyi Sayang Semuanya Sudah Terlambat itu turut menyatakan kemarahan abang iparnya semakin meningkat apabila perkara tersebut diceritakan semula kepada isterinya, Siti Fairunnisa Aziz.
Susulan itu, mereka mula bergaduh secara fizikal apabila berlaku tolak menolak, namun Shidee tidak sedar mengenai situasi yang berlaku selepas kejadian.
Katanya, kehadiran ke Balai Polis Sungai Besi pada keesokan harinya adalah bagi membantu siasatan selepas abang iparnya membuat laporan.
“Memang saya tak sedar apa yang terjadi ketika bergaduh, ada luka ke, patah ke, saya tak tahu.
“Saya tak ingat apa-apa. Saya pergi ke balai polis pun untuk bagi keterangan memang berlaku pergaduhan.
“Kemudian saya direman selama dua hari untuk siasatan,” ujarnya.
Enggan orang ramai salah faham, Shidee menangkis dakwaan netizen yang mengatakan dia seorang individu panas baran.
Malah, bapa kepada tiga cahaya mata yang menganggap kejadian ini sebagai ujian juga sedia berdamai dengan abang iparnya.
“Demi Allah saya tak salahkan sesiapa walaupun ada orang salahkan saya, tapi percayalah Allah lebih mengetahui,” katanya.
Berita penyanyi veteran didakwa memukul abang ipar berusia 41 tahun menggunakan batang besi sehingga menyebabkan kecederaan mencetuskan kegemparan ramai pada 25 Mac lalu.
Penyanyi yang disahkan pengurusnya sendiri sebagai Shidee itu direman pada Isnin lalu bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE