fbpx

Kontrak kerajaan guna beras import mulai hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar beramah mesra dengan orang ramai yang hadir pada Majlis Berbuka Puasa Madani peringkat negeri di pekarangan Masjid Nurul Huda Felda Chuping, Padang Besar hari ini. Foto oleh IZLIZAN OTHMAN/KOSMO!

PADANG BESAR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu keperluan beras melibatkan kontrak kerajaan seperti tentera, polis, hospital dan sekolah berasrama akan menggunakan beras putih import bermula hari ini.

Kata beliau, ia merupakan langkah kerajaan untuk membantu rakyat mendapatkan beras putih tempatan (BPT) pada harga murah.

“Kerajaan mulai hari ini iaitu 1 April memutuskan semua keperluan di (premis) tentera, polis, sekolah berasrama dan hospital digunakan beras import. Ia supaya beras murah tempatan boleh dibeli oleh rakyat tempatan kerana keperluan oleh tentera, polis dan sekolah berasrama ini banyak.

“Jadi kalau tidak bergantung kepada beras tempatan, maka keperluan rakyat itu lebih dipermudahkan walaupun saya akui hasil pengeluaran padi belum cukup,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Madani peringkat negeri di pekarangan Masjid Nurul Huda Felda Chuping, di sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memberitahu, sebarang kontrak kerajaan melibatkan pengedaran beras akan menggunakan beras putih import mulai bulan ini.

Menurut Mohamad, negara kini mengeluarkan kira-kira 62 peratus BPT, manakala selebihnya adalah hasil beras putih import.

Sejumlah 62 peratus BPT itu antaranya diedarkan kepada asrama polis, asrama tentera, sekolah berasrama penuh selain zakat fitrah juga menggunakan beras sama. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI