fbpx

Kecewa penjawat awam terubat lepas terima duit raya RM500

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri yang diumum hari ini memberi sinar buat seluruh penjawat awam dan pesara kerajaan yang sememangnya menantikan khabar gembira mengenai bantuan itu.

Bantuan sebanyak RM500 untuk penjawat awam Gred 56 ke bawah serta RM250 untuk pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen bakal disalurkan pada Jumaat ini.

Tinjauan Kosmo! di platform media sosial hari ini mendapati, rata-rata penerima yang layak meluahkan rasa syukur dan gembira di atas keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta pimpinan Kerajaan Perpaduan menyalurkan bantuan kepada penjawat awam bagi menampung keperluan menyambut Aidilfitri.

Meskipun pada Februari lalu, kerajaan telah menyalurkan bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam sebanyak RM2,000 kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak, namun jumlah tersebut lebih tertumpu kepada pengurusan perbelanjaan sekolah anak-anak.

“Alhamdulillah, dapat lah saya gunakan duit ini untuk tampung kos balik raya, beli kelengkap raya,” kata Asyikin.

“Terima kasih PMX (Anwar), kerana prihatin dengan kami (penjawat awam). Bantuan hari itu (bayaran Insentif Awal) memang habis untuk kelengkapan sekolah tiga anak. Bantuan raya kali ini dapat guna untuk kelengkapan sambut raya pula,” luah Amirul.

“Alhamdulillah, terima kasih. Insya-Allah akan dikongsikan bersama ahli keluarga dan jiran yang kurang berkemampuan. Rezeki bukan semuanya hak kita, ada juga amanah untuk orang lain,” kata Ryan Adam.

“Terima kasih Kerajaan Perpaduan. RM500 sudah cukup banyak nilainya buat kami barisan pesara ini,” ucap Syed Naim.

Terdahulu, ramai yang kecewa apabila Anwar menyatakan tiada bantuan khas kewangan menjelang Aidilfitri awal bulan depan untuk penjawat awam kerana bayaran Insentif Awal lalu sudah melebihi daripada tahun sebelumnya dan ia dianggap cukup untuk kegunaan sambut raya.

Bagaimanapun, pada 15 Mac lalu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat menggesa supaya kerajaan memberikan bantuan khas kewangan Aidilfitri kepada penjawat awam dan pesara.

Adnan berkata, pihaknya berharap Perdana Menteri mengekalkan tradisi bantuan khas perayaan itu sebagaimana dilaksanakan sepanjang 10 tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI