PETALING JAYA – Keseronokan sekumpulan murid-murid lelaki berbuka puasa dan bermalam di rumah gurunya mengundang perhatian pengguna media sosial yang menganggap ia satu kenangan yang akan diingat sampai ke hari tua.
Menerusi perkongsian video oleh @cikgupaan92 di TikTok, kesemua lapan murid lelaki itu yang siap membawa pakaian untuk menginap telah dihidangkan pelbagai juadah berbuka puasa seperti nasi ayam, murtabak, dan kuih muih yang disediakan oleh isteri cikgu tersebut.
Selain itu, guru terbabit turut melayan anak muridnya seperti seorang ayah dengan menyediakan tempat tidur dan membawa muridnya itu pergi ke masjid menunaikan solat tarawih bersama.
Sementara itu, kegigihan Cikgu Paan itu dipuji orang ramai kerana memberi layanan baik kepada murid-muridnya tanpa membimbangkan ibu bapa mereka.
“Memang sampai besar mereka akan ingat cikgu, mahal kenangan ni,” komen Chagiyaa.
“Mesti diaorang takkan lupa kenangan ni, saya pun pernah tidur rumah ustazah ramai-ramai sampai ke harini umur 26 masih segar kenangan dalam ingatan,” komen Nurain.
“Memori mahal kanak-kanak diaorang dan semua takkan lupa seumur hidup, semoga cikgu dimurahkan rezeki dan dipermudahkan segala urusan,” komen Royie.
Sehingga kini, video tersebut mendapat 1.8 juta tontonan, 151,000 tanda suka dan 4,700 perkongsian. – KOSMO! ONLINE.