fbpx

Berwakaf mampu suburkan harta, ganjaran diganda pada bulan Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Husni

WAKAF atau waqaf berasal dari perkataan Arab iaitu waqafa. la membawa berbagai pengertian, antaranya berhenti, menegah dan menahan.

Dari segi istilah, wakaf ialah menahan harta yang bermanfaat, serta kekal fizikalnya, untuk diberikan pada jalan kebaikan dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Menurut syarak, wakaf adalah salah satu daripada ibadah yang dituntut dan ia memberi manfaat kepada orang ramai dengan menyerahkan harta bendanya untuk kebajikan.

Malah, tujuan wakaf juga adalah untuk mendekatkan diri dan mendapat keredhaan Allah S.W.T. dengan cara membelanjakan harta ke jalan Allah.

Antara harta yang boleh diwakafkan adalah seperti wang tunai, rumah, tanah dan juga bangunan.

Wakaf ini juga berbeza dengan infaq dan sedekah. Infaq adalah segala bentuk perbelanjaaan yang bersifat umum untuk diri sendiri, keluarga dan juga kebajikan.

Sementara itu, sedekah pula adalah terlebih khusus daripada infaq, iaitu biasanya ia diberikan daripada golongan tinggi (kaya) kepada yang rendah (miskin).

Menjelaskan lagi perihal wakaf ini, Pengurus Kanan Unit Syariah dan Antarabangsa Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Ahmad Husni Abd Rahman berkata, wakaf adalah bersifat sunat.

Ahmad Husni

Bagaimanapun katanya, apabila seseorang itu bernazar untuk mewakafkan sesuatu harta, maka ia adalah wajib.

“Sebagai contoh, saya bernazar tanah ini untuk diwakafkan kepada sekian (perkara tertentu), maka wakaf ini jadi wajib sebab nazar tersebut. Jika dia langgar nazar ini maka akan ada kifarah (denda) yang perlu dibayar.

“Kedudukan wakaf adalah sama seperti sedekah iaitu sunat, tetapi ia amat-amat dituntut dalam agama Islam ( sunat muakkad),”katanya kepada Kosmo!.

Ahmad Husni memberitahu, wakaf terdiri daripada tiga bahagian iaitu wakaf zurri, wakaf ahli dan juga wakaf irsod.

Bagi wakaf zurri katanya, ahli keluarga masih boleh menggunakan harta yang diwakafkan itu untuk manfaat mereka.

“Sebagai contoh, kita ada bangunan berupa hotel atau rumah kedai yang boleh di buat sewaan dan kemudian diwakafkan.

“Kemudian semasa mewakafkan bangunan itu kita mensyaratkan 50 peratus keuntungan hasil sewaan itu diberikan kepada keluarga saya. Perkara ini dibenarkan.

“Untuk wakaf ahli pula, biasanya ia adalah khusus harta tersebut diwakafkan oleh pewakaf untuk kegunaan ahli keluarga,”katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai wakaf irsod pula, ia adalah harta milik kerajaan yang diwakafkan untuk kegunaan orang ramai.

“Contohnya seperti telaga yang dibeli oleh Saidina Uthman R.A kemudian digunakan oleh orang Islam,”katanya.

Antara projek wakaf yang diusahakan PPZ-MAIWP iaitu pembinaan Surau Al-Firdaus, Presint 11F, Putrajaya.

Menyentuh mengenai ganjaran dan pahala berwakaf, Ahmad Husni berkata, ia adalah berlipat kali ganda terutamanya di bulan Ramadan.

“Berdasarkan hadis Ibu Majah, setiap satu ibadah wajib yang dibuat di bulan Ramadan ini digandakan dengan 70 kali ganda dan Allah S.W.T berhak menggandakannya lagi mengikut keluasan dan rahmat-NYA.

“Manakala, satu perkara sunat yang dilakukan pada bulan ini diangkat menjadi satu pahala wajib. Jadi kalau kita berwakaf di bulan Ramadan ini, ia amat-amat digalakkan kerana mengambil barakah dan gadaan yang disediakan bulan Ramadan,”katanya.

Tambah beliau lagi, berwakaf juga adalah salah satu ibadah di tangga teratas kerana setiap satu yang dibelanjalkan atas nama agama ini mempunyai kelebihan dan keunikan tersendiri.

“Apatah lagi jika belanja itu melibatkan orang ramai dan wakaf itu bukan sahaja dinikmati orang Islam, bahkan orang bukan Islam juga boleh menikmatinya.

“Apabila besar manfaat dan kegunaannya, maka akan besarlah ganjarannya. Jadi apabila kita nampak perkara ini berpotensi digunakan dijalan yang diredai Allah,maka wakaflah elemen paling sesuai untuk kita dekatkan diri dengan Allah S.W.T.

“Wakaf juga merupakan sedekah jariah yang disebut Nabi S.A.W yang mana apabila mati anak adam maka terputuslah semua kecuali tiga perkara. Iaitu sedekah jariah, anak yang soleh dan ilmu yang berguna.

“Sedekah jariah yang merupakan kebajikan yang berpanjangan kegunaannya. Sebagai contoh sedekah jariah adalah menderma sejadah di masjid, selama mana ia digunakan jemaah, selama itu itulah pahalanya mengalir,”kata beliau.

Bagaimanapun kata Ahmad Husni, di Malaysia ibadah wakaf ini masih tidak ‘popular’ seperti di negara lain kerana mungkin kurangnya pendedahan tentang ibadah itu.

Jelasnya, ramai yang beranggapan wakaf ini hanya dalam bentuk terhad dan mereka tidak dapat banyak manfaat daripada amalan berwakaf tersebut.

“Sebagai contoh, apabila seseorang itu mewakafkan hartanya, maka ia tidak boleh lagi gunakan harta tersebut. Sedangkan harta tersebut masih boleh dinikmati oleh pewakaf dan ahli keluarga.

Selain bangunan, orang ramai juga boleh mewakafkan al-Quran untuk kegunaan ramai.

“Mungkin perkara ini terjadi kerana kurangkan ilmu, kurangnya pendedahan tentang manfaat wakaf, fadilat wakaf serta kepentingan berwakaf.

“Kedua, berwakaf di negara kita kurang popular kerana ia bersifat stereotaip (tanggapan umum). Ramai fikir apa yang boleh diwakafkan adalah tanah masjid dan tanah kubur dan rumah anak yatim.

“Dan apabila wakaf itu dikhususkan kepada dua perkara ini, pihak yang menguruskan harta wakaf tersebut perlu patuh dan mereka tidak boleh melanggar syarat pewakaf itu,”ujarnya.

Tambah beliau, disebabkan sifat stereotaip ini juga, ramai yang kurang berminat untuk berwakaf.

“Ketiga, pengurusan harta wakaf yang diamanahkan perlu progresif dan lebih bersistematik. Ada pejabat agama telah terkehadapan dalam melaksanakan projek-projek wakaf ini

“Sebagai contoh di MAIWP, kita berjaya membina sebuah bangunan wakaf di Jalan Perak, Kuala Lumpur yang kini disewa oleh sebuah syarikat bank tempatan.

“Bangunan tersebut dibina di atas tanah wakaf dan menerusi dana wakaf dan ia mendatangkan hasil bersifat produktif,”ujarnya.

Justeru katanya, bagi memudahkan orang ramai yang ingin mewakafkan harta mereka ke jalan Allah, mereka boleh melayari laman sesawang http://wakafppz.com.my.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI