fbpx

Telekung jadi kenangan terakhir ibu pelajar terkorban di New Zealand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Megat Ashman Aqif yang maut dalam nahas di Lake Tekapo, New Zealand.

TELUK INTAN – Ibu kepada pelajar Malaysia yang maut dalam nahas jalan raya di Lake Tekapo, New Zealand semalam tidak menyangka telekung kiriman anaknya menjadi kenangan terakhir buat mereka sekeluarga.

Noor Aishah Abdul Latif, 49, berkata, anaknya, Megat Ashman Aqif Megat Irman Jefni, 21, memberikan telekung berwarna ‘dusty pink’ itu sempena ulang tahun kelahirannya pada 12 Mac lalu.

Katanya, kejutan tersebut dibuat anak kedua daripada tiga beradik itu terus ke rumahnya melalui perkhidmatan kurier.

“Selepas dia hantar telekung, dia kirim pula kek. Saya tegur kenapa beli sebab telekung itu mahal, tapi dia cakap, dia mahu berkat daripada ibunya.

“Dia memang nak buat kejutan untuk saya dan masa barang itu sampai ke rumah pun, kami sedang membuat panggilan video,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Melayu Langkap di sini hari ini.

Menurut Noor Aishah, Megat Ashman Aqif yang mesra disapa Aqif itu disifatkan sebagai seorang anak yang baik dan berdikari, malah tidak pernah menyusahkan keluarga.

Katanya, arwah yang bekerja sambilan ketika cuti semester juga tidak lokek memberinya wang belanja meskipun sering ditolak kerana anaknya itu lebih memerlukan.

“Aqif sering buat panggilan video melalui WhatsApp dan kami akan bersembang macam-macam perkara. Walaupun dia duduk jauh, tapi tidak rasa langsung sebab selalu lihat dia.

“Kali terakhir dia hubungi saya Selasa lalu beritahu nak periksa dan minta saya doakan. Tak sangka, Allah bagi pinjam 21 tahun sahaja dan dia pergi ketika sedang berpuasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI