KOTA BHARU – Lebih 2.4 tan makanan dan minuman yang tidak terjual di empat bazar Ramadan di negeri ini berjaya diselamatkan menerusi Projek MySaveFood dalam tempoh dua minggu pada bulan Ramadan.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail berkata, projek kerjasama pihaknya dengan Pertubuhan Pemuda Gema bersama Gerakan Pengguna Siswa (GPS) bertujuan menyelamatkan makanan dan minuman yang tidak berjaya dijual oleh peniaga-peniaga bazar Ramadan.
Menurutnya, makanan yang berjaya dikumpul oleh sukarelawan antaranya nasi berlauk, kuih-muih, mi goreng atau berkuah, lauk bergoreng atau bakar, makanan barat, pencuci mulut dan air minuman.
“Projek MySaveFood ini dilaksana sejak 14 hingga 28 Mac lalu di empat bazar Ramadan iaitu Mydin Hypermall Tunjong, Bazar Ramadan Pantai Irama, Bazar Ramadan Kubang Kerian dan Bazar Ramadan Pengkalan Chepa.
“Program ini dilaksanakan dengan kerjasama sukarelawan dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Sains Malaysia (USM),” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Mengulas lanjut, Azman memberitahu, lebihan makanan tersebut akan dikumpulkan oleh sukarelawan dan diagihkan kepada golongan yang memerlukan.
Katanya, agihan akan dilakukan kepada penduduk sekitar yang terdiri daripada golongan asnaf, rumah-rumah anak yatim, rumah kebajikan, masjid dan pelajar-pelajar institut pengajian tinggi (IPT) yang menginap di asrama.
“Program ini harap dapat dilaksanakan pada tahun-tahun hadapan kerana ia dapat memberi banyak manfaat kepada golonganyang memerlukan. Selain itu, ia dapat menyelamatkan makanan yang masih elok dan berlebihan sepanjang bulan Ramadan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE