PETALING JAYA – Tertinggal bagasi berisi duit RM500,000 ketika mengambil wang tersebut yang dipinjam dari rakan bagi tujuan pelaburan tahun lalu.
Kecuaian itu dimaklumkan seorang pengarah syarikat kayu balak ketika memberi keterangan selepas mendakwa dia merupakan pemilik bagasi berwarna merah jambu dan putih tersebut yang ditinggalkan di parkir sebuah pusat beli-belah di Damansara pada 19 Mac lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, lelaki berkenaan tampil memberi keterangan pada pukul 5 petang semalam.
Katanya, pengadu tidak menyedari bagasi mengandungi wang yang diambil dari rumah rakannya yang terletak atas pusat beli-belah tersebut tidak dimasukkan ke dalam kendaraan.
“Bagasi (yang mengandungi wang) itu diambil dari rumah rakannya dan ingin memulangkan wang itu selepas dipinjamkan tahun lalu untuk tujuan pelaburan.
“Individu terbabit perasan dia sudah membawa masuk bagasi tersebut bersama sebuah lagi beg ke dalam kereta dan terus pulang ke rumah.
“Namun, dia menyedarinya apabila hendak mengambil bagasi itu semula di dalam kereta,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurut Hussein individu terbabit bagaimanapun tidak mengemukakan sebarang bukti mengatakan wang itu adalah milik syarikatnya.
“Siasatan masih diteruskan. Prosedur selepas ini adalah individu terbabit perlu datang semula untuk memberi keterangan termasuk sumber wang terbabit,” katanya.
Pada 19 Mac lalu, seorang pengawal keselamatan sebuah pusat beli-belah menemukan sebuah bagasi berisi wang tunai lebih RM500,000 yang ditinggalkan di parkir sebuah pusat beli-belah di Damansara.
Pengawal keselamatan itu kemudian membuat laporan polis pada pukul 8 pagi.-KOSMO! ONLINE.