ALOR GAJAH – Rakyat Melaka tidak perlu panik mengenai status bekalan air kerana ia dijamin mencukupi menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, paras air di tiga empangan utama di Melaka berada pada paras normal.
Menurutnya, paras air di Empangan Durian Tunggal, Empangan Jus serta Empangan Asahan melebihi 80 peratus dan kerajaan negeri memberi jaminan tiada gangguan bekalan air termasuk catuan air dilaksanakan pada Aidilfitri, melainkan gangguan luar jangka.
“Kerajaan negeri telah meminta Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) memberi penjelasan atas dasar apa mereka mengkategorikan paras air di empangan Melaka berada pada paras kritikal.
“Sejak musim kemarau kesan daripada fenomena El Nino paras air di tiga empangan utama tidak pernah mencecah paras kritikal iaitu di bawah 40 peratus.
“Situasi bekalan air di Melaka masih jauh hendak sampai paras kritikal dan ia mencukupi sehingga Jun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis berbuka puasa di kediamannya di Kampung Jeram, Masjid Tanah di sini, semalam.
Terdahulu, NADMA dilaporkan berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pada 25 Mac lalu mengeluarkan hebahan ramalan kemarau bagi tiga lembangan sungai iaitu Sungai Muda Kedah, Sungai Kelantan dan Sungai Melaka.
Tambah Hameed Mytheen, hujan lebat yang berlaku sejak beberapa hari lalu menyebabkan paras air di Empangan Jus berlaku peningkatan, manakala Empangan Durian Tunggal dan Empangan Asahan kekal paras normal.
Katanya, air dari Empangan Jus akan dilepaskan ke Sungai Batang Melaka bagi membekalkan air ke Loji Air Gadek, manakala air dari Empangan Durian Tunggal pula disalurkan ke Loji Air Bertam dan Loji Air Bukit Sebukor. – KOSMO! ONLINE