ALOR SETAR – “Mama sempat buat ketupat sejuk beku buat keluarga untuk sambutan Aidilfitri ini sebelum ditemui meninggal dunia malam tadi”.
Demikian kata Muhammad Fazli Adnan, 33, yang merupakan anak kepada Manirah Rafiee, 59, yang ditemui meninggal dunia akibat penyakit jantung di atas sejadah di ruang tamu rumah di Taman Inang, di sini malam tadi.
Menurut Muhammad Fazli, dia dan tiga beradik lain yang tinggal di Selangor, Kuala Lumpur dan Johor mendapat berita kematian ibunya kira-kira pukul 9 malam.
“Saya dan keluarga tinggal di Bukit Jalil terkejut apabila diberitahu mama tidak sedarkan diri dalam rumah. Pada awalnya saya ingat mama pengsan, tidak sangka mama pergi dahulu,” katanya ketika ditemui di rumah arwah di sini hari ini.
Katanya, ibu ditemui sepupunya yang pergi memeriksa keadaan arwah selepas tidak membalas mesej WhatsApp selain kali terakhir dilihat aktif dalam aplikasi itu pada pukul 7 malam, Khamis lalu.
“Sepupu saya mendapati pintu terkunci dan rumah gelap, namun pendingin hawa berfungsi. Sepupu kemudian menghubungi talian kecemasan sebelum bomba datang memecahkan pintu rumah.
“Arwah mama ditemui dalam keadaan berbaring di atas sejadah di ruang tamu dengan kain telekung di sisi,” ujarnya yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik.
Katanya, ibunya baru sahaja pulang dari rumah adik perempuannya di Seri Kembangan dan rumahnya di Bukit Jalil pada Isnin lalu.
“Sepanjang berada di rumah adik, mama masak ketupat untuk hidangan keluarga dan tempahan. Arwah kata lepas ini dah tak perlu buat dah ketupat sebab dah nak raya.
“Semasa datang ke rumah saya, arwah mama juga sempat memasak makanan untuk isteri saya yang sedang berpantang. Mama kata makanan ini cukup sampai kami balik raya nanti,” ujarnya.
Katanya, ibunya mempunyai sejarah penyakit jantung dan pernah menjalani pembedahan pintasan jantung. – KOSMO! ONLINE