PETALING JAYA – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan fitnah terhadap beliau berhubung penggunaan istilah ‘kafir’ adalah percubaan jahat untuk mencalarkan imej dan kredibilitinya.
Menurut Fadhlina, poster yang memaparkan keratan video beliau sedang berucap dengan kapsyen di luar konteks asal itu sengaja dibuat bagi mencetuskan polemik.
Jelasnya, beliau hanya tidak membenarkan anak-anaknya menyebut istilah ‘kafir’ yang menjurus kepada kebencian terhadap bukan muslim, bukan seperti didakwa.
“Isu sebutan ‘kafir’ atau ‘non-muslim’ bukan tindakan saya melarang penggunaan perkataan dalam al-Quran, apatah lagi menafikan istilah yang digunakan dalam al-Quran.
“Ia adalah isu memilih panggilan sesuai dalam kehidupan. Malah, Almarhum Shaykh Dr. Yusuf al-Qaradawi dan Shaykh Prof Dr. Ibrahim al-Hudhud (mantan rektor Universiti Al-Azhar) mengakui panggilan ‘ghayru muslim’ (bukan muslim) digunakan termasuk penggunaan panggilan sosial.
“Pastinya saya sayangkan agama dan prinsip-prinsip Islam merupakan pegangan dalam menjalani kehidupan sehari-hari,” ujarnya di Facebook, hari ini.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, Fadhlina membuat laporan polis dan bakal mengambil tindakan undang-undang susulan penyebaran hantaran berbaur fitnah terhadapnya di laman sosial.
Ia merujuk kepada satu video tular memaparkan Fadhlina yang didakwa menolak penggunaan label kafir ketika berucap dalam satu majlis.
Susulan itu katanya, beliau menerima kata-kata berbaur kebencian, tuduhan tidak benar malah ancaman keselamatan di alam maya.
“Laporan polis telah dibuat atas faktor keselamatan dan nasihat pasukan peguam pula, semua bukti daripada hantaran, komentar, dan mesej peribadi di media sosial yang pelbagai sedang dikumpulkan dan tindakan undang-undang akan diambil,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE