fbpx

‘Dulu saya tak percaya Padu, sekarang dah sedar nak daftar’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salah seorang warga emas hadir ke kaunter di Flat Sri Aman, Petaling Jaya bagi mendaftar maklumat di dalam sistem Padu. - Foto oleh M. FIRDAUS M. JOHARI / KOSMO!

PETALING JAYA – Pada hari terakhir pendaftaran Pangkalan Data Utama (Padu), kelihatan orang ramai berpusu-pusu untuk tidak melepaskan peluang hadir ke kaunter-kaunter yang dibuka seluruh negara.

Tinjauan Kosmo! di Flat Sri Aman, di sini, hari ini, kelihatan orang ramai khususnya warga emas membanjiri kaunter-kaunter yang dibuka bagi mengemas kini maklumat sebelum ditutup pukul 5 petang ini.

Menurut seorang pentadbir, Sarimah Zulkifli, 56, dia berasa yakin untuk mendaftar Padu hari ini setelah mendengar taklimat dan penerangan daripada pegawai bertugas di kaunter-kaunter disediakan.

Katanya yang sudah menetap di Flat Sri Aman selama 19 tahun, sebelum ini dirinya berasa tiada keyakinan dan was-was kerana terlampau mempercayai berita palsu mengenai keselamatan sistem Padu.

“Hari ini saya datang dan dengar sendiri daripada Datuk Bandar dan Ketua Perangkawan sendiri tentang keselamatan maklumat dalam sistem Padu. Sebelum ini tiada kesedaran.

“Inisiatif untuk buka kaunter ni dikira sebagai menyebarkan kesedaraan kepada orang ramai lagi-lagi warga emas. Bila dah dapatkan penjelasan sendiri barulah ada rasa keyakinan. Ini salah satu cara untuk bantu kerajaan dan bantu diri kita juga,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini, hari ini.

Suasana petugas yang sedang sibuk membantu orang ramai yang ingin mendaftar sistem Padu di Flat Sri Aman, Petaling Jaya, hari ini. – Foto oleh M. FIRDAUS M. JOHARI / KOSMO!

Seorang suri rumah, Saraswathi Raman, 45, pula berkata, dia sudah mencari beberapa kaunter Padu sejak awal pagi tadi sebelum mengetahui terdapat program pendaftaran yang sedang berlangsung di Flat Sri Aman.

Ujarnya yang menetap di Taman Medan, dia berhasrat untuk mengemas kini maklumat diri dalam sistem Padu bagi memastikan dirinya serta dua lagi orang anaknya tidak tercicir dalam mendapatkan bantuan kerajaan.

“Suami saya sudah meninggal. Anak saya berusia 21 tahun, dia seorang sahaja yang bekerja. Saya pula ada kencing manis, jadi tak dapat bekerja. Hidup kami agak susah.

“Jadi bila tahu kena kemas kini maklumat Padu ni, saya memang nak buat supaya keluarga kami tersenarai sebagai golongan yang memerlukan,” ujarnya.

Sementara itu, seorang pesara swasta, Mohd. Zabidi Hamid, 60, berkata dari awalnya dia sememangnya tidak mempercayai pandangan atau kata-kata orang ramai tentang sistem Padu.

Mohd. Zabidi yang juga bapa kepada tujuh orang anak itu berkata, setelah mengetahui terdapat kaunter dibuka di kediamannya hari ini dia segera menawarkan diri bagi membuat pendaftaran tersebut.

“Sebelum ini saya pernah dengar tapi terlampau sibuk bekerja dan berulang-alik dari Kuantan ke Petaling Jaya. Masa tu apa sahaja orang cakap-cakap pasal Padu, saya tak percaya dan tak ambil pusing.

“Bila dapat tahu kaunter dibuka, saya terus rela hati untuk kemas kini maklumat selepas mendengar penjelasan pegawai bertugas. Harapan saya agar inisiatif kerajaan ini akan dapat membantu keluarga saya dan juga lebih ramai orang memerlukan,” katanya.

Terdahulu, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, seramai 10.8 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas telah mengemaskini Padu setakat 12 tengah hari ini.

Beliau berkata, kaunter-kaunter di seluruh negara dibuka sehingga pukul 5 petang manakala pendaftaran atas talian dibuka sehingga pukul 11.59 malam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI