fbpx

Cuma ada maklumat asas bagi siapa yang tak daftar Padu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Uzir (tengah) pada sidang akhbar selepas program Lawatan Mesra Datuk Bandar Petaling Jaya ke Flat Sri Aman dan Program Pendaftaran Padu, hari ini. Foto oleh M. FIRDAUS M. JOHARI / KOSMO!

PETALING JAYA – Maklumat asas demografi setiap rakyat Malaysia sudah terkandung di dalam sistem Pangkalan Data Utama (Padu) walaupun seseorang individu tidak membuat sebarang pendaftaran sehingga ke saat akhir.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, bagaimanapun kerajaan tetap memerlukan setiap rakyat mengemas kini maklumat berkaitan status pekerjaan, pendapatan, jumlah tanggungan serta alamat kediaman untuk mengelakkan sebarang keciciran.

“Kepada yang tak daftar langsung, sudah ada maklumat asas demografi dalam sistem Padu misalnya data kad pengenalan yang memberitahu maklumat jantina dan sebagainya.

“Contoh lain jika mereka ada majikan, kita sudah ambil datanya dalam Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau lain-lain agensi.

“Tapi yang kita bimbang, kita hanya ada maklumat asas sahaja. Perlu diketahui setiap orang maklumatnya akan berubah-ubah setiap tahun, data rakyat takkan berbentuk statik. Sebab itu perlunya kemas kini sistem Padu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas program Lawatan Mesra Datuk Bandar Petaling Jaya ke Flat Sri Aman dan Program Pendaftaran Padu, di sini, hari ini.

Tambah Mohd. Uzir, kerajaan menetapkan tempoh akhir pendaftaran Padu bagi membolehkan data individu yang sudah mendaftar dan selesai dikemas kini itu, dianalisis bagi tujuan merangka bentuk inisiatif dan bantuan yang akan diumumkan kerajaan kelak.

“Kepada mereka yang rasa ada maklumat nak tambah atau ada kesilapan masa buat pendaftaran, jangan risau akan ada peluang pada masa akan datang, yang akan ditetapkan pihak tadbir urus nanti.

“Kemas kini berkala dalam Padu adalah salah satu ciri kepada ‘real-time data (RTD)’ dan ia tidak berbentuk sekali saja. Yang penting, isi dulu apa status sekarang. Selepas ini, ada perubahan, akan dibuka lagi untuk pengemaskinian, untuk kita pastikan data yang terkini.

“Selepas pendaftaran ditutup malam ini, daftar semasa yang ada hanya berpandu kepada data dari tempoh semasa yang sudah ditutup,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI