SIAPA sangka kawasan perkampungan Felda Chuping, dekat Kangar, Perlis yang tersusun dan mendamaikan turut menempatkan sebuah kandang kuda diusahakan seorang kontraktor, Shahidi Shahidan, 57, sejak empat tahun lalu.
Masuk sahaja ke kawasan tersebut, sudah kelihatan dari jauh padang ragut menghijau di Shah Stable Felda Chuping yang dibuka kepada orang ramai untuk menunggang kuda dengan bayaran serendah RM15.
Di sebelah padang tersebut, terletak kandang menempatkan lima ekor kuda diberi nama Heaven, Rafiqi, Tiana, Tiara dan Daisy.
Sesekali, Shahidi akan melepaskan kesemua kuda itu ke kawasan padang berpagar berkenaan secara serentak untuk bermain serta bagi mengelakkan stres.
Pengalaman menyaksikan kelincahan semua kuda yang bagaikan tidak sabar-sabar keluar dari kandang ke padang ragut itu sangat mengujakan.
Kumpulan kuda itu berlari dan melompat-lompat masuk ke padang ragut memperlihatkan ketangkasan haiwan tersebut sangat memukau pandangan.
Menurut Shahidi, Shah Stable Felda Chuping menawarkan pengalaman menunggang kuda termasuk kepada pengunjung yang pertama kali melakukan aktiviti itu.
“Bagi yang pertama kali menunggang, ia pasti menjadi pengalaman menarik buat mereka terutama yang datang bersama keluarga.
“Selain melakukan aktiviti berkuda, keluarga yang datang bersama anak-anak kecil juga boleh bermain dengan arnab di Rabbit Valley terletak berhampiran. Mereka juga boleh berkelah dan minum petang di situ,” katanya ketika ditemui Panorama baru-baru ini.
Tambahnya, pengunjung pada masa ini juga berpeluang menunggang kuda sambil menikmati angin kuat pada musim angin timur.
“Kami turut menawarkan pakej keluarga iaitu mereka boleh berkelah di bawah pohon rendang di kawasan padang ini sambil menunggang kuda.
“Pengalaman unik ini boleh didapati pada harga hanya RM100 dalam tempoh dua jam bagi keluarga 10 orang ke bawah, manakala bagi keluarga lebih 20 orang bermula pada harga RM260 dalam tempoh masa sama,” ujarnya.
Sementara itu, bagi pasangan pengantin yang mahu membuat penggambaran di kawasan itu dengan kuda hanya dikenakan bayaran RM150 sahaja selama sejam.
“Bagi pasangan pengantin yang mahukan kelainan boleh datang bergambar di sini. Selain menunggang kuda, persekitaran di Felda Chuping ini juga sangat cantik dan menenangkan dengan pokok-pokok yang rendang, rumah kampung tersusun selain pemandangan kebun harumanis,” katanya.
Selain itu, Shahidi turut mengadakan pakej kelas menunggang kuda dengan bayaran RM600.
“Saya sendiri akan mengajar cara menunggang kuda selain aspek keselamatan berkuda, cara pemakaian yang sesuai dan sebagainya,” katanya.
Bercerita tentang kuda-kuda di situ, menurut Shahidi, kuda akan dibersihkan terlebih dahulu sebelum sedia ditunggang oleh pengunjung.
“Kita akan ‘grooming’ terlebih dahulu kuda-kuda ini termasuk membuang kotoran pada badan serta membelainya bagi memastikan kuda-kuda rasa segar,” kongsi Shahidi.
Jelasnya, Heaven berasal dari Australia dan merupakan baka thoroughbred yang miliki struktur badan yang tegap dan senang dikawal.
“Kuda jantan atau stallion ini pada asalnya adalah untuk perlumbaan tetapi telah dilatih untuk show jumping serta dressage.
“Kita juga mempunyai satu lagi stallion iaitu baka kacukan kuda Arab dan tempatan yang diberi nama Rafiqi. Kuda ini mempunyai tingkah laku lincah dan agak nakal,” katanya.
Tambahnya, tiga lagi kuda adalah kuda betina atau mare yang merupakan kacukan tempatan dan luar iaitu Daisy serta Tiana dan Tiara yang merupakan ibu dan anak.
Dalam pada itu, kata Shahidi, dia menawarkan pengalaman menunggang kuda di situ kerana hobi dan minatnya dengan aktiviti tersebut.
“Saya minat aktiviti ini sejak sekolah rendah lagi apabila saya bela seekor anak kuda diberi seorang jiran dan saya mahir menunggang kuda pada usia belasan tahun,” katanya.
Tambah Shahidi, dia juga mahu menghidupkan sukan sunnah itu kerana memberi banyak kesan positif kepada penunggangnya termasuk membuatkan individu lebih berani dan yakin, merangsang dan menguatkan otot serta meningkatkan kecekapan otak dan memberi terapi kepada emosi.
“Saya juga membuat kerjasama dengan anak-anak kariah Masjid Nurul Huda Felda Chuping, mereka boleh menunggang kuda percuma pada waktu tertentu,” katanya.