fbpx

10.8 juta rakyat daftar Padu hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Uzir pada sidang akhbar selepas program Lawatan Mesra Datuk Bandar Petaling Jaya ke Flat Sri Aman dan Program Pendaftaran Padu, hari ini. - Foto oleh M. FIRDAUS M. JOHARI / KOSMO!

PETALING JAYA – Seramai 10.8 juta rakyat Malaysia telah mengemas kini Pangkalan Data Utama (Padu) setakat 12 tengha hari ini berbanding 9.24 juta pada Khamis lalu.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, jumlah tersebut bersamaan 48.3 peratus daripada sejumlah rakyat warganegara 21.96 juta berusia 18 tahun ke atas.

Katanya, di Selangor, setakat pukul 12 tengah hari ini, pengemaskinian data Padu menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan apabila penambahan 240,000 pendaftaran dengan menjadikan jumlah sebanyak 1.7 juta.

“Alhamdulillah walaupun pada peringkat awal agak perlahan pendaftaran Padu di Selangor, tapi hari ini kita lihat peningkatan yang memberangsangkan.

“Setakat ini pendaftaran rakyat di Selangor sudah mencecah 40.1 peratus daripada 4.24 juta penduduk di negeri ini. Saya jangka akan menghampiri angka 50 peratus sehingga ke akhir pengemaskinian.

“Jadi kepada siapa yang ingin mendaftar, kaunter-kaunter di seluruh negara dibuka sehingga pukul 5 petang, manakala pendaftaran atas talian dibuka sehingga pukul 11.59 malam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas program Lawatan Mesra Datuk Bandar Petaling Jaya ke Flat Sri Aman dan Program Pendaftaran Padu, di sini, hari ini.

Tambah Mohd. Uzir, kebanyakan kaunter di seluruh negara hari ini mendapat sambutan yang sangat memuaskan sehingga berlakunya sedikit kesesakan.

“Berdasarkan tinjauan, hari ni semua kaunter-kaunter fizikal mengalami limpahan sampai ada yang beratur ke jalan raya. Tapi kami cuba atasi perkara ini sebaik mungkin supaya masa menunggu tak lama.

“Kebanyakan orang ramai juga faham, saat akhir memang tak boleh elak situasi sebegitu. Mereka yang datang saat akhir pun mengaku sebelum ini ada batasan, tak cukup masa nak daftar Padu.

“Pada bulan Ramadan ini pun kita ambil peluang buka kaunter di masjid dan bazar. Macam semalam saya dapat laporan sesetengah kaunter di bazar ada yang buka sampai ke malam,” katanya.

Dalam pada itu, bertanyakan mengenai sasaran pengemaskinian Padu pada hari terakhir ini, Mohd. Uzir berkata pihaknya menetapkan aras sebanyak 50 peratus pendaftaran seluruh negara menjelang malam ini.

Katanya, sasaran tersebut lebih realistik kerana kebiasaannya inisiatif baharu diperkenalkan kepada orang awam sememangnya tidak mudah untuk mencapai keberhasilan 100 peratus. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI