fbpx

K2

Tandas sekolah bak hotel lima bintang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CIRI-CIRI keanak-anakan ditampilkan pada bahagian luar tandas SK Sri Adika Raja, Gerik, Perak.

SETIAP kali sebut tentang hiasan dalaman tandas sekolah, pasti ramai membayangkan ruangan yang comel dan ceria.

Namun, bagi Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Adika Raja, Gerik, Perak, estetik hitam dan putih dipilih menjadi tema tandas pelajar mereka.

Sekali lihat, tandas dengan keluasan 111.5 meter persegi itu memiliki suasana persis tandas hotel lima bintang.

Menurut kontraktor terlibat, Mohd. Zueffendy Ahmad Daud, tata rias itu merupakan cetusan idea isterinya, Suhaila Mahamod yang merupakan pakar hiasan dalaman.

“Pada mulanya, sekolah agak keberatan untuk membenarkan kami memilih sendiri keseluruhan aspek hiasan dalaman seperti jubin, lantai dan sebagainya.

“Namun, setelah isteri saya tunjuk lakaran (sketchup) idea kami.

“Mereka bersetuju memberikan kami kepercayaan sepenuhnya untuk menukar rupa tandas,” katanya kepada Deko baru-baru ini.

Signage yang ditempah khas.

Untuk rekod, sekolah terbabit merupakan salah satu daripada 64 sekolah di daerah Hulu Perak yang menerima peruntukan RM70,000 daripada kerajaan.

Peruntukan tersebut bertujuan menaik taraf tandas sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun lalu.

Dengan peruntukan tersebut, tandas yang memiliki enam kubikel bagi lelaki dan perempuan itu ditambah dengan ruangan menghias diri.

Ruang tersebut bukan sahaja dilengkapi meja, kerusi dan cermin, malah disertai dengan pencahayaan lampu malap (warm light).

SUASANA di dalam tandas kelihatan lebih menarik dengan kombinasi warna hitam dan putih.

Penambahan ruangan tersebut sesuai dengan lokasi tempat wuduk yang telah diubah suai serta dilengkapi pancuran air (shower head).

Ujar lelaki berusia 39 itu, penambahan fungsi pada tandas tersebut dibuat bagi membolehkan pelajar-pelajar bersiap dengan selesa.

“Dengan adanya ruang mandi dan berhias, pelajar boleh membersihkan diri setelah selesai membuat aktiviti kokurikulum.

“Kami juga menyediakan ruangan penyangkut baju pada dinding bagi memudahkan pelajar menyangkut pakaian,” katanya.

RUANG menghias diri dilengkapi dengan kerusi dan cermin untuk kemudahan para pelajar.

Selain penambahan fungsi ruang, fasiliti sedia ada di dalam tandas seperti mangkuk tandas dan pili air juga dinaik tarafkan dengan teknologi lebih moden.

Singki biasa sekolah digantikan dengan singki seramik berbentuk oval berserta dengan lampu LED melingkari cermin bulat di dinding.

Penggunaan tumbuhan artificial juga diterapkan dalam hiasan dalaman tandas bagi menaikkan seri ruang hitam dan putih.

Ujar Mohd. Zueffendy, pemilihan jubin berwarna hitam dan putih sememangnya janggal buat kanak-kanak.

TEMPAT mandi turut disediakan bagi memudahkan pelajar membersihkan diri selepas aktiviti kokurikulum.

Bagaimanapun, ciri-ciri keanak-anakan diterjemahkan pada penggunaan papan tanda berbentuk kartun (signage).

“Penggunaan warna hitam dan putih boleh mengajar pelajar untuk lebih menjaga kebersihan serta ketertiban ketika menggunakan tandas.

“Jika ditanya tentang ciri-ciri keanak-anakan, pasti pada signage yang direka dan dibuat khas oleh kami,” ujarnya.
Secara keseluruhan, perubahan tandas sekolah daripada biasa kepada tandas ‘mewah’ itu memakan masa selama enam minggu untuk direalisasikan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI