fbpx

Solat jemaah sebulan tanpa gagal boleh pergi umrah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ibrahim (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan pada Majlis Penyampaian Zakat kepada 200 asnaf di Masjid Imanul Fa’izin, Kampung Padang Kala, Kota Bharu kelmarin.

KOTA BHARU – Andalusia Tra­vel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) akan menaja 200 anak muda di negeri ini untuk menunaikan umrah jika mereka solat berjemaah selama sebulan berturut-turut di Masjid Imanul Fa’izin atau dikenali sebagai Masjid Andalusia, Kampung Padang Kala, di sini.

Pengarah Urusan Andalusia, Ibrahim Mat Sin berkata, anak muda yang akan dipilih diwajibkan menunaikan solat subuh, maghrib dan isyak berjemaah selepas Ramadan ini.

Menurutnya, peserta perlu berusia dalam lingkungan 20 hingga 35 tahun dan mendaftar dengan pihak masjid berkenaan untuk mengambil bahagian sebelum kehadiran mereka direkodkan pada ketiga-tiga waktu solat itu.

“Penyertaan bagi program ini diberi keutamaan kepada anak muda yang belum berkahwin yang dilihat memudahkan untuk mereka menunaikan solat tiga waktu di Masjid Andalusia.

“Program seperti ini mampu menarik minat golongan muda untuk mengimarahkan masjid dan tidak meninggalkan solat secara berjemaah,” katanya selepas Majlis Penyampaian Zakat Kepada 200 asnaf di Masjid Imanul Fa’izin, Kampung Padang Kala, di sini kelmarin.

Andalusia turut menganjurkan majlis iftar dan tarawih sempena memperingati hari Nuzul al-Quran dengan penampilan khas bekas Qari Diraja Arab Saudi yang juga Imam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Sheikh Abdul Karim Omar Al-Makki.

Mengulas lanjut, Ibrahim memberitahu, beliau bercadang untuk membawa anak muda yang terpilih bagi program itu untuk menunaikan umrah pada Ogos atau September tahun ini.

Dalam perkembangan lain, menurutnya, Andalusia juga bakal bekerjasama dengan pelakon, penyanyi dan pengacara, Alif Satar menerusi kempen Geng Subuh Macam Jumaat bagi mengimarahkan Masjid Imanul Fa’izin.

Katanya, selain itu, pihaknya mengagihkan keseluruhan zakat berjumlah RM500,000 kepada 2,500 asnaf, anak yatim dan orang kelainan upaya (OKU) di Kelantan pada Ramadan tahun ini.

“Andalusia akan membayar zakat sebanyak lebih RM3 juta setiap tahun termasuk melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) dan agihan secara persendirian.

“Saya juga berniat untuk berkongsi rezeki dengan semua orang terutamanya penduduk di kampung halaman sendiri khususnya Kampung Padang Kala,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI