PETALING JAYA – Pelakon sensasi, Ruhainies kecewa dengan sikap segelintir pihak yang mudah membuat spekulasi terhadap hantaran dimuat naik dalam media sosial tanpa usul periksa.
Kata pemilik nama lengkap Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 31, video dikongsikan hanya sesi doa sebelum penggambaran drama bagi babak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Dalam tempoh kurang 15 minit saya muat naik, video sudah tular di TikTok, Instagram dan Facebook, menunjukkan betapa teruknya mentaliti kita. Minda anda penuh dengan anasir negatif.
“Itu adalah video berdoa sebelum mula bekerja dan menunjukkan dunia ini terlalu tenat, penuh fitnah serta banyak berita palsu yang mudah media gula-gulakan kepada netizen tanpa usul periksa demi mengejar tontonan.
“Anda boleh saksikan kru produksi ada di mana-mana bersama ‘walkie talkie’ dan semua orang tahu kami sedang dalam penggambaran drama bersama,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Ruhainies menasihatkan orang ramai supaya menjaga lisan sempena bulan puasa yang mulia.
Bintang sensasi itu juga berharap agar mentaliti cepat serkap jarang dapat diubah supaya sama-sama menjadi manusia yang lebih baik.
“Mudahnya manusia sekarang dapat dosa kering. Jaga lidah dan lisan, kita berada di bulan Ramadan.
“Mohon muhasabah, pesanan untuk diri sendiri juga. Semoga doa yang baik atau sebaliknya berbalik pada anda juga,” katanya.
Semalam video dikongsikan Ruhainies menimbulkan salah faham apabila ramai menyangka dia dan hero yang digandingkan dalam drama Terjerat iaitu Aliff Aziz bakal mengerjakan umrah.
Ini berikutan aktres terbabit dilihat mengenakan jubah putih dan bertudung, manakala suami kepada Bella Astillah itu pula memakai kurta warga senada berdiri di sebelahnya sambil membaca doa.
Sejak terbabit dalam kes tangkapan khalwat dengan Aliff pada 9 Mac lalu, sememangnya setiap hantaran dimuat naik selebriti sensasi itu mengundang perhatian netizen. – HIBGLAM