PETALING JAYA – Rayuan terbuka suami kepada penyanyi Adira, Datuk Red agar diberikan pekerjaan didengar pengurusan sebuah gedung pakaian popular yang mengajaknya berkolaborasi.
Kata pemilik nama sebenar Datuk Seri Adnan Abu, 43, dia ditawarkan menjadi model baju Melayu yang mempromosikan helaian digayakan serta pusat beli-belah berkenaan.
“Bismillah. Terima kasih kerana beri peluang dan beri kerja yang tidak disangka-sangka,” kongsinya menerusi hantaran video Instagram.
Menerusi hantaran sama, bapa kepada 11 cahaya mata daripada tiga perkahwinan itu turut meminta maaf kerana masih kekok beraksi dalam video promosi.
“Maaf, saya pertama kali jadi model. Terima kasih berkongsi rezeki dengan saya yang tidak seberapa ini,” tulisnya lagi.
Menerusi video dikongsi dalam aplikasi TikTok, Datuk Red menunjukkan beberapa gayanya berbaju Melayu rona coklat cair lengkap bersongkok.
Sebelum itu, dia turut berkongsi detik kedatangannya di gedung berkenaan dengan menaiki motosikal kapcai.
Selain model baju Melayu, lelaki terbabit juga dilihat sudah memulakan kerja promosi bagi jenama daging kambing perap terkemuka.
Difahamkan, banyak tawaran lain diajukan kepadanya termasuk sebagai pelakon tambahan.
Baru-baru ini, bekas ahli perniagaan yang diisytiharkan muflis pada tahun itu 2019 secara terbuka mendedahkan sedang mencari pekerjaan bagi menyara keluarga dan melunaskan hutang.
Menurutnya, susulan itu dia tidak dapat bekerja selama lima tahun sehingga mendedahkan kehidupannya ditanggung isteri kedua iaitu Adira.
Begitupun, penyanyi berkenaan memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat Rawang, Selangor pada 25 Oktober tahun lalu.
Manakala isteri pertamanya, Datin Red atau Datin Seri Sharifah Norshafila memfailkan perceraian ke atas suaminya pada awal tahun ini. – KOSMO! ONLINE